Zahid dan Nita tidak sembunyiBELUM terlambat untuk Marilyn ucapkan tahniah kepada Ayu setelah dinobatkan juara One In A Million 2 (OIAM2) yang diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam baru-baru ini.
Pada usia 19 tahun, dia sudah bergelar jutawan segera, malah mampu mengalahkan 12 peserta lain termasuk beberapa artis. Ayu memang ada kelas. Walaupun kepenatan menyelesaikan tugasan tertangguh di pejabat, Marilyn tidak mahu terlepas peluang menyaksikan OIAM2 bersama rakan-rakan.
Macam biasalah, kalau namanya pergi majlis gah, Marilyn tetap berkebaya ketat dengan solekan mampan. Sedang dok leka mencari tempat duduk, mata Marilyn yang siap berkanta lekap berwarna hazel tetap melilau sana-sini memerhatikan gelagat orang ramai.
Ops... Marilyn terpandang pula kelibat sepasang kekasih. Berjalan berdua-duaan, Zahid dan Nita kelihatan mesra sungguh. Memang sebelum ini Marilyn dikhabarkan tentang hubungan cinta dua artis yang bakatnya dicungkil menerusi program realiti TV ini.
Maknanya, betullah maklumat yang Marilyn dapat dari teman sebelum ini. Zahid dan Nita memang sedang menikmati hari indah dan bahagia bersama.
Kata seorang kawan Marilyn, Fasha Clara, memang patutlah Zahid dan Nita serius dalam hubungan mereka. Yalah, umurpun sudah mencecah 28 tahun, eloklah tu.
"Si Zahid sendiri mengaku dia begitu serasi bersama Nita yang diibaratkan sempoi dan selamba sesuai dengan jiwa Zahid. Cuma Zahid tidak mahu bercakap lebih-lebih tentang soal mendirikan rumah tangga. Zahid hanya berserah dengan takdir."
Betul juga kata-kata Zahid itu, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, selebihnya ditentukan Yang Maha Esa. Yang pasti, Zahid dan Nita kelihatan secocok sekali. Sesuai sangat kalau dua hati ini disatukan di gerbang perkahwinan.
Marilyn: Cemburu tau. Nita mesti sudah merasa naik kereta Nissan Skyline putih Zahid yang jadi idaman Marilyn tu.