Gunners singkir penyandang juara
|
PEMAIN hadapan Arsenal, Emmanuel Adebayor (atas, kiri) bersama-sama rakan sepasukan Aliaksandr Hleb (tiga dari kiri) dan pertahanan AC Milan, Kakhaber Kaladze (dua dari kanan) cuba merebut bola voli pada persaingan Liga Juara-Juara di Stadium Milan San Siro, Itali kelmarin. Arsenal menang 2-0. – AP.
|
LONDON – Arsenal menyingkirkan juara tujuh kali, AC Milan daripada saingan bola sepak Liga Juara-Juara manakala Manchester United, Barcelona dan Fenerbahce turut mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir, semalam.
Arsenal menjadi kelab Liga Perdana England pertama menewaskan AC Milan di San Siro menerusi jaringan Cesc Fabregas pada minit ke-84 disusuli gol Emmanuel Adebayor dalam masa kecederaan untuk agregat 2-0.
‘‘Kami berjaya menyingkirkan penyandang juara itu menerusi permainan yang hebat sekali pun dalam tekanan. Saya bangga dengan mereka,’’ kata Pengurus Gunners, Arsene Wenger.
Sementara itu, tonggak United, Cristiano Ronaldo menjaringkan gol ke-30 nya musim ini untuk memberikan kemenangan 1-0 ke atas Lyon di Old Trafford menerusi agregat 2-1.
‘‘Jaringan Ronaldo hebat menerusi satu gerakan yang cantik,’’ kata Pengurus United, Alex Ferguson.
Sementara itu hantaran jauh pemain utama Barcelona, Ronaldinho berjaya disambut dan disempurnakan oleh Xavi Hernandez untuk mengesahkan kemaraan pasukan itu dengan kemenangan 1-0 ke atas Celtic dengan agregat 4-2.
Barca bagaimanapun, kehilangan Lionel Messi yang terpaksa meninggalkan padang gara-gara cedera paha kirinya.
‘‘Kami sedih atas kejadian yang menimpa Leo,’’ kata Presiden Barcelona, Joan Laporta.
Dalam pada itu, Fenerbahce menewaskan Sevilla 3-2 menerusi penentuan penalti selepas perlawanan terikat dengan agregat 5-5.
Pada perlawanan kelmarin, Sevilla menewaskan lawan 3-2, sekali gus mengulangi keputusan sama ketika pertemuan pertama yang dimenangi Fenerbahce.
– AP