Kelab gergasi EPL tersingkir daripada saingan Piala FA
[url=mailto://][/url]
LONDON: Suasana suram memalit kelab gergasi bola sepak Inggeris yang jatuh rebah kepada skuad kerdil, ketika juara bertahan, Chelsea dan Manchester United tersingkir dalam halangan suku akhir, kejohanan Piala FA dalam satu kejutan terbesar setakat ini, kelmarin.
Chelsea tewas mengejut kepada kelab Bahagian Dua, Barnsley 1-0 di Oakwell manakala United tersembam di Old Trafford apabila tewas kepada Portsmouth juga 1-0. Derita bagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) bertambah lagi, malam tadi, apabila Middlesbrough kecundang kepada Cardiff 2-0.
Gol jaringan John Whittingham seawal minit kesembilan dan Roger Johnson (m-22) pada babak pertama menceriakan Cardiff di halaman lawan untuk layak ke separuh akhir kejohanan.
Chelsea dan United - di antara mereka - sudah memenangi empat kejuaraan EPL - memiliki beberapa pemain ternama dunia dan sumber kewangan yang besar, tambahan pada pertengahan minggu lalu mara ke suku akhir Liga Juara-juara Eropah.
Namun demikian, sumber itu belum cukup untuk mempertahankan mereka daripada keupayaan Piala FA yang sudah kerap mencetus keputusan mengejut, seperti yang berlaku pada masa lalu.
Grant berdepan cabaran untuk berpaut kepada jawatannya dan dia mengakui kekalahan itu adalah yang paling buruk sepanjang tempoh pengurusannya di Chelsea.
“Ia paling buruk sejak saya datang ke sini,” katanya “Saya cukup kecewa dan sedih mengenai kekalahan ini. Ia pertandingan penting.
“Kami berpeluang melakukan sesuatu dalam pertandingan ini dan kami tidak berbuat demikian, maka kini perlu memalingkan perhatian kepada saingan liga dan Liga Juara.” katanya
Tetapi Avram Grant jelas memberi perhatian kepadanya apabila menggugurkan penyerang Didier Drogba dan pemain tengah Frank Lampard, hanya untuk menyaksikan percaturannya itu memakan diri.
Chelsea mungkin mempunyai beberapa alasan bagi kekalahan itu, memandang Barnsley sebelum ini sudah memberi petanda kualiti dimiliki hasil daripada kejayaan menumbangkan pasukan gergasi Liverpool, di pusingan sebelumnya di Anfield. - AFP