Arsenal tambah parah – Wenger -- Chelsea kini intai pula kedudukan UnitedLONDON – Arsene Wenger berkata, peluang Arsenal untuk meraih gelaran Liga Perdana England musim ini bertambah parah selepas tewas 1-2 kepada Chelsea di London, kelmarin.
Kalah pada perlawanan, kelmarin turut menyebabkan Gunners tercicir ke tangga ketiga dan ketinggalan enam mata daripada Manchester United yang selesa sebagai pendahulu liga.
‘‘Kekalahan ini malang buat kami. Kami perlu menang selepas ini selepas mencatat empat perlawanan dengan seri dan kalah sekali.
‘‘Apa pun, saya masih merasai semangat pasukan. Para pemain sendiri kecewa apabila pulang tanpa membawa mata. Mereka (pemain) perlu menunjukkan kekuatan sebenar. Sekarang kita sudah ketinggalan enam mata di belakang United. Kita perlu menang perlawanan selepas ini sebelum boleh bercakap tentang gelaran,’’ katanya mengulas perlawanan, kelmarin.
Wenger juga tidak dapat memastikan posisi mana dalam pasukannya yang perlu diperbetulkan selepas menang empat daripada lapan perlawanan setakat ini.
‘‘Mungkin barisan pertahanan yang agak leka sehingga memberikan jaringan mudah ketika menentang Middlesbrough dan Aston Villa.
‘‘Kemenangan sepatutnya memihak kepada kita pada perlawanan itu tetapi kita agak leka,’’ ujarnya yang menyifatkan nasib tidak menyebelahi Arsenal apabila gol pertama dibatalkan kerana ofsaid.
Sementara itu, Pengurus Chelsea, Avram Grant belum berasa yakin sama ada pasukannya masih berpeluang untuk meraih gelaran liga selepas dipisahkan dengan lima mata dengan United.
‘‘Saya tidak tahu tetapi saya berjanji pasukan ini akan melakukan yang terbaik. Sejak September lalu, pasukan ini mempamerkan 80 peratus permainan yang terbaik,’’ kata Grant.
Pada perlawanan, kelmarin kebangkitan Chelsea bermula apabila Arsenal kehilangan pemain pertahanannya, Bacary Sagna yang cedera ketika mendahului 1-0 dan pada masa yang sama, Grant memasukkan Nicolas Anelka dan Juliano Belletti.
Drogba kemudian mendapatkan gol penyamaan sebelum mengukuhkan kedudukan Chelsea sehingga tamat permainan.
Ditanya tentang tindakannya meletakkan beberapa pemain utama sebagai gantian, Grant berkata: ‘‘Saya tidak fikir mana-mana pengurus akan yakin menang setiap kali turun padang.
‘‘Bagaimana pun hari ini ia menjadi. saya sangat gembira... Kami berjaya meletakkan tekanan kepada pasukan lawan.’’
Menurut Grant, dia sengaja memekakkan telinganya apabila ramai peminat Chelsea dalam stadium, kelmarin menjerit membantah tindakannya itu.
‘‘Saya tidak mengendahkan mereka. Saya memberi tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan, malah saya yakin,’’ tegasnya.