Alak kemudian melakukan aksi yang lebih berani dengan menunjukkan punggungnya sambil menjerit, “jilat, jilat jubur korporat sedap.”
PETALING JAYA 6 Julai – Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat – Protes Sampai Turun membantah kenaikan harga minyak anjuran pakatan pembangkang mencetuskan insiden yang memalukan apabila seorang penyanyi jemputan bertindak liar melondehkan seluar di hadapan para peserta perhimpunan itu ketika membuat persembahan di Stadium Kelana Jaya di sini lewat petang ini.
Insiden itu telah membawa kepada pergaduhan antara hadirin apabila mereka membaling botol air ke arah pentas dan cuba menyerbu penyanyi itu dan rakan-rakan kumpulannya gara-gara tidak berpuas hati dengan perbuatan tersebut.
Semasa kejadian, Alak, penyanyi lelaki kumpulan Carburetor Dung, sedang menyanyikan lagu berjudul Mari Nyanyi Menjilat sebelum bertindak melondehkan seluarnya. Sambil membelakangkan diri ke arah penonton dan menunjuk-nunjukkan punggungnya, Alak kemudian menjerit perkataan ‘jilat’ berkali-kali.
Insiden yang berlaku sekitar pukul 7 petang itu dilihat telah menjatuhkan air muka penganjur yang sejak awal pagi tidak henti-henti cuba ‘mengajar’ kerajaan Barisan Nasional (BN) bagaimana untuk mentadbir negara tetapi ia akhirnya gagal menganjurkan satu protes yang mudah dengan jayanya.
Difahamkan, sekitar 700 anggota Unit Amal Pas telah bertindak meninggalkan stadium selepas kejadian itu kerana tidak berpuas hati dengan pengisian berbentuk konsert hiburan yang disediakan oleh penganjur.
Penyanyi berkenaan pula dipercayai dibelasah oleh segelintir hadirin ketika dia dibawa keluar dari Stadium Kelana Jaya walaupun perkara itu seolah-olah cuba disembunyikan oleh pihak penganjur.
Ahli jawatankuasa penganjur perhimpunan itu, Tah Moon Hui memberitahu pemberita, penyanyi itu hanya terjatuh kerana terkena botol air yang dibaling orang ramai yang berang dengan kejadian tersebut.
“Mestilah jatuh kalau kepala terkena sesuatu,” katanya ketika ditemui selepas kejadian itu.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila diberitahu mengenai insiden penyanyi itu dipukul yang berjaya dirakamkan oleh jurugambar.
Penyanyi Carburetor Dung yang berusia awal 20-an itu ditampilkan oleh pihak penganjur sebagai selingan antara ucapan para pemimpin pembangkang sebelum menunggu ucapan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Salah seorang ahli PKR, Othman Mustafa berkata, tindakan biadap penyanyi itu yang menunjukkan aksi tidak sopan telah menimbulkan kemarahan penyokong pembangkang.
“Sepatutnya mereka menjemput penyanyi nasyid, ini mereka jemput penyanyi kumpulan underground yang berkelakuan tidak senonoh.
“Perbuatan tersebut cukup memalukan sehingga membuatkan keadaan kami tidak selesa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, penyanyi itu juga menunjukkan aksi lucah mengunakan isyarat tangan.
Selepas kejadian itu, pengurus pentas yang bertanggungjawab membawa penyanyi itu, Hishammuddin Rais tampil memohon maaf.
Dalam nada suara yang sebak, beliau berkata:
“Kita tidak merancang perkara-perkara seperti ini. Pihak penganjur mengambil tanggungjawab sepenuhnya, orang yang perlu dihukum adalah saya.”
Penjelasan beliau itu mendapat reaksi negatif para penonton. Hishamuddin diboo oleh para peserta perhimpunan itu.
Nasib penyanyi kumpulan Carburetor Dung tidak diketahui tetapi penganjur perhimpunan memberi jaminan bahawa dia dan kumpulannya selamat.