Chelsea terus beri tekanan
Chelsea terus beri tekanan
LONDON - Chelsea kembali memberi tekanan kepada pendahulu Liga Perdana England, Manchester United selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Middlesbrough semalam.
Skuad bimbingan Avram Grant itu turut merampas kembali kedudukan kedua liga dari Arsenal dan mengekori rapat di belakang United dengan perbezaan lima mata.
Lebih menarik, situasi ini bakal menghangatkan lagi suasana menjelang pertemuan Chelsea-United di Stamford Bridge pada 26 April depan.
Pada aksi semalam, tonggak pertahanan, Ricardo Carvalho muncul wira tuan rumah apabila tandukannya pada minit kelima permainan menghadiahkan tiga mata berharga buat skuad
The Blues.
Gol itu juga merupakan gol pertama pemain antarabangsa Portugal itu bersama Chelsea musim ini.
Chelsea juga bernasib baik apabila pemain gantian pasukan pelawat, Afonso Alves terlepas beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol.
CARVALHO (dua dari kiri) bijak menanduk masuk gol kemenangan Chelsea pada aksi menentang Middlesbrough di Stamford Bridge semalam.
Dua percubaan penyerang dari Brazil itu terkena tiang gol manakala satu lagi percubaannya di depan pintu gol jauh tersasar.
Chelsea kini mengumpul 71 mata daripada 32 perlawanan
ketinggalan lima mata di belakang United yang sebelum itu mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford kelmarin.
Sementara itu, Arsenal mengumpul 70 mata untuk berada di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Bolton di Stadium Reebok.
Dalam perlawanan lain, Newcastle bangkit daripada prestasi hambar musim ini apabila membelasah Tottenham 4-1 di White Hart Lane.
Empat gol yang masing-masing dijaringkan oleh Nicky Butt pada minit ke-45, Geremi (52), Michael Owen (65) dan Obafemi Martins (83) menghadiahkan kemenangan kesembilan musim ini buat skuad kendalian Kevin Keegan itu.
Tottenham memperoleh gol saguhati menerusi Darren Bent.
Di Anfield, Liverpool berjaya mengukuhkan kedudukan keempat liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Everton.
Gol kemenangan tuan rumah hadir menerusi penyerang Sepanyol, Fernando Torres pada minit ketujuh. - Agensi.