Arsenal makin goyang buru gelaran
LONDON - Misi Arsenal untuk meraih gelaran Liga Perdana England musim ini semakin sukar selepas terikat dengan keputusan seri 1-1 menentang Liverpool malam tadi.
Keputusan yang dicatat di Stadium Emirates itu juga sebagai mengulangi keputusan yang sama ketika mereka seri pada aksi pertama suku akhir kempen Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Pada aksi semalam, Nicklas Bendtner menyelamatkan maruah Arsenal apabila dia menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan cantik pada minit ke-55.
Sebelum itu, Peter Crouch meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-42.
Arsenal kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester Unitef ketika saingan hanya berbaki lima perlawanan.
Chelsea pula terus mengekori United di tempat kedua dengan hanya dibezakan dua mata.
Semalam, skuad
The Blues tidak berdepan masalah menjinakkan Manchester City menerusi kemenangan 2-0.
Bagi skuad Liverpool, keputusan seri ini bukan hanya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat keempat tetapi membuktikan strategi Rafael Benitez dengan menurunkan barisan pemain simpanan tidak saya-sia.
Keputusan Benitez untuk melakukan lapan pertukaran pemain bukan satu kejutan apabila barisan pemain simpanan ini berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang.
Namun bagi Crouch. dia berasa bangga apabila dapat membuktikan penyudahnya kepada Benitez selepas direhatkan sejak Februari lalu.
Kontrak Crouch akan berakhir pada penghujung musim ini tetapi keputusan Benitez untuk meletakkan Steven Gerrard bergandingan bersama Fernando Torres di bahagian serangan membuka ruang kepadanya untuk kembali mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
"Ia mungkin memerlukan satu atau dua perlawanan lagi. Kamu tidak boleh berputus asa tetapi membuktikan bahawa kamu boleh melakukannya," kata Crouch.
"Ia adalah sesuatu yang mengecewakan tetapi saya gembira apabila kembali dapat beraksi. Ia adalah sesuatu yang menggembirakan. Walaupun hanya seketika, saya telah membuktikan kepada orang ramai bahawa saya masih berbisa.
"Ia adalah sesuatu yang sukar. Saya tidak boleh menipu. Tidak ada pemain yang mahu duduk dan menyaksikan perlawanan penting. Saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka.
"Hari ini (semalam) saya telah buktikan dan berharap akan diberi peluang untuk beraksi beberapa perlawanan lagi sebelum saingan berakhir". - AFP