Sudah masuk berita harian hari ini BERITA HARIAN
- Khamis, 10 April 2008
- 3 Rabiulakhir 1429
2 maut kereta api terjunamOleh Veena Rusli, Suzianah Jiffar, Francis Andin dan Abu Bakar Esah
[url=mailto://][/url]TRAGEDI: Keadaan kereta api penumpang yang terjunam ke dalam Sungai Padas berhampiran Kampung Tenom Lama, semalam.
|
Gerabak tergelincir selepas tebing Sungai Padas di tepi landasan runtuh TENOM: Dua orang terbunuh manakala 24 lagi cedera termasuk tiga parah apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas dari ketinggian kira-kira 20 meter berhampiran Kampung Tenom Lama dekat sini, petang semalam.
Kejadian ketika hujan renyai kira-kira jam 3 petang itu berlaku 10 minit selepas kereta api penumpang terbabit berlepas dari Stesen Tenom menuju ke Stesen Beaufort yang biasanya mengambil masa dua jam perjalanan.
Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Mazlan Lazim, berkata kereta api itu dipercayai tergelincir selepas tebing sungai di tepi landasan runtuh.
"Ini menyebabkan kepala kereta api berkenaan serta gerabak pertama dan kedua terjunam ke dalam sungai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Kereta api yang melakukan dua perjalanan pergi balik laluan Tenom-Beaufort setiap hari sejak pertengahan 1970-an itu, mempunyai lima gerabak dan membawa 41 penumpang ketika kejadian.
Difahamkan, kejadian berkenaan adalah yang pertama sejak kereta api milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu beroperasi.
|
TERAPUNG: Gerabak yang terjunam selepas tergelincir daripada landasan.
|
Mazlan berkata, mangsa yang terbunuh ialah seorang penumpang wanita dan lelaki rakyat tempatan, tetapi identiti kedua-duanya belum dikenal pasti.
Wanita itu dipercayai lemas dengan mayatnya ditemui tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 3.30 petang, manakala penumpang lelaki itu tersepit di bawah gerabak dan dikeluarkan pada jam kira-kira jam 6.30 petang. Pemandu kereta api turut cedera ringan, manakala pembantunya patah kaki.
Mazlan berkata, 20 anggota polis dan 16 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Tenom serta Keningau terbabit dalam operasi menyelamat.
Beliau berkata, operasi itu dihentikan kira-kira jam 7 malam sebaik mendapat pengesahan tiada penumpang yang hilang berdasarkan 41 tiket penumpang yang dikeluarkan.
|
BANTUAN: Gerabak ditarik keluar dari sungai. |
Mazlan berkata, penumpang bernasib baik kerana arus Sungai Padas tidak terlalu deras ketika kejadian walaupun paras air agak dalam, manakala hujan renyai menjadi lebat mulai jam 4 petang.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tenom menggunakan kereta api bantuan berikutan tiada kemudahan jalan raya.
Laluan darat paling hampir ialah di seberang Sungai Padas berhampiran Stesen Hidro Elektrik Pangi kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, dalam satu kenyataan malam tadi mengarahkan siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.
"Saya mahu kes ini disiasat secara menyeluruh dari semua aspek. Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka bersabar mengharungi dugaan ini.
"Kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu mereka yang terbabit," katanya.
Musa turut meminta pihak berkenaan terutama Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri memeriksa keadaan landasan di keseluruhan laluan sebelum perkhidmatan kereta api berkenaan beroperasi semula.
Katanya, keselamatan pengangkutan awam mesti diberi keutamaan dan langkah berpatutan perlu dilaksanakan bagi mengelak kejadian itu berulang.
INFO: Antara tragedi kereta api 5 April 2008: Kira-kira 150 penumpang dari Singapura ke Kelantan nyaris maut apabila kereta api yang mereka naiki bertembung dengan kereta api barang kira-kira satu kilometer dari Stesen Keretapi Kempas Baru, Johor Bahru.
10 Disember 2007: Seramai 43 penumpang termasuk lima kanak-kanak, melalui saat cemas apabila kereta api yang mereka naiki terbalik selepas merempuh sekumpulan kerbau dekat Sungai Peria, Kuala Krai.
9 Disember 2007: Kira-kira 900 penumpang perkhidmatan ekspres Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terkandas, selepas sebuah gerabak kereta api penumpang biasa tergelincir dari landasan dekat Manik Urai, Kuala Krai.
7 Disember 2007: Lebih 5,000 penumpang perkhidmatan KTM Komuter terkandas selepas perkhidmatan bagi laluan Rawang - Seremban - Rawang terpaksa dibatalkan berikutan kejadian tanah runtuh berhampiran Stesen Kepong Sentral, Kuala Lumpur.
14 Disember 2006: Dua gerabak kereta api yang membawa muatan kontena dari Pelabuhan Johor di Pasir Gudang menuju ke Pelabuhan Klang tergelincir dari landasannya dalam satu kejadian berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Kulai, Johor.
26 Ogos 2006: Keretapi Sinaran Petang dari Singapura ke Kuala Lumpur yang membawa 177 penumpang, tergelincir kira-kira 500 meter dari Stesen Kereta Api Ayer Kuning Selatan, Gemencheh, Negeri Sembilan.
INFO: Kereta api Tenom-Beaufort
Menggunakan enjin diesel Hitachi 5101
Milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS)
Mula beroperasi pada pertengahan 1970-an
Empat gerabak memuatkan 36 penumpang setiap satu
Dua gerabak menempatkan barang
Berhenti di lima stesen besar dan 17 stesen kecil.