|
Wayne Rooney (kiri) dihalang pemain Arsenal, Alexandre Song pada pertembungan Liga Perdana England di Old Trafford, Manchester. United menang 2-1. – Reuters
|
LONDON – Owen Hargreaves muncul wira Manchester United apabila menjaringkan gol kemenangan, sekali gus membawa pasukan itu menghampiri kejuaraan Liga Perdana England selepas menewaskan Arsenal 2-1 di Old Trafford, semalam.
Kemenangan terbaru ini membolehkan United mengungguli liga dengan enam mata melebihi pencabar terdekat, Chelsea, yang bagaimanapun mampu merapatkan kedudukan jika mengalahkan Wigan Athletic di Stamford Bridge, hari ini.
Bagi Arsenal, kekalahan semalam menutup peluang mereka untuk mencabar kejuaraan liga selepas ditinggalkan dengan sembilan mata pada ketika saingan hanya berbaki empat perlawanan.
Ia juga bermakna, pasukan Gunners itu bakal menutup saingan tanpa sebarang kejuaraan buat musim ketiga berturut-turut selepas tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, minggu lalu.
Semalam, United bagaimanapun dikejutkan apabila ketinggalan 0-1 menerusi jaringan Emmanuel Adebayor pada minit ke-48 sebelum bangkit menyamakan kedudukan.
Bintang Portugal dan penjaring terbanyak liga musim ini, Cristiano Ronaldo berjaya menjadikan kedudukan 1-1 selepas menyempurnakan penalti, enam minit kemudian.
DijulangHargreaves bagaimanapun dijulang sebagai hero pasukannya apabila mengambil sepakan percuma yang cantik pada ke-72 untuk memastikan United mengutip tiga mata berharga.
Hargreaves, yang lebih dikenali dengan skil defensif menjaringkan gol ke-100 United dalam 50 perlawanan selepas tendangan percumanya melencong membuatkan penjaga gol Arsenal, Jens Lehmann terpaku.
Terdahulu, Adebayor mengejutkan tuan rumah dengan menanduk gol pembukaan Arsenal tiga minit selepas separuh masa kedua bermula selepas menerima hantaran silang Robin van Persie.
Pemain-pemain United tidak membantah jaringan tersebut walaupun bola kelihatan sudah terkena tangan penyerang itu sebelum menerjah ke dalam gawang.
Bagaimanapun beberapa minit kemudian, insiden bola terkena tangan memberi rahmat kepada United apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 selepas Williams Gallas terpegang bola dalam kawasan sendiri dan pengadil, Howard Webb tidak teragak-agak memberikan sepakan.
Ronaldo bagaimanapun diarahkan mengambil tendangan dua kali, selepas sepakan yang pertama dibatalkan kerana dia mengelirukan pemain lain dengan memberhentikan larian ketika hendak melakukan sepakan.
– AFP