BARANGAN tiruan bukan saja merosakkan komponen enjin, malah boleh mengancam nyawa pemilik dan pengguna jalan raya lain.
Negara ini juga tidak terkecuali dengan lambakan barang tiruan dan penggunaannya semakin meningkat kerana faktor harga yang murah selain hampir menyamai barangan tulen.
Pengerusi Kumpulan Eksekutif Continental AG, Manfred Wennemer, berkata pihaknya akan memerangi habis-habisan barang tiruan ini kerana ia mendatangkan risiko buruk kepada pembeli.
"Kemasukan tayar lori celup, brek cakera dan tali sawat pemanduan tiruan ini menyebabkan pihak kami turut merasai kesannya.
"Paling menyedihkan, ada antara produk tiruan terbabit menipu pengguna dengan menggunakan nama syarikat ini untuk menjual barangan mereka," katanya.
Katanya, sehingga November tahun lalu, pihaknya merampas dan memusnahkan 19,500 tali sawat tiruan menggunakan label ContiTech, salah satu jenama terkenal daripada Continental.
"Malah, tayar tiruan dari China yang menggunakan corak sama seperti tayar asli Continental sduah diharamkan kemasukannya di Jerman.
"Agen dan pengedar produk Continental di Taiwan juga terpaksa menanggung kerugian akibat kemasukan tali sawat menyamai rekaan ContiTech yang begitu banyak di sana. Bagaimanapun, ia berjaya disekat dan dimusnahkan," katanya.
Pengurus Jualan Kumpulan ContiTech Power Transmission (Asia), Jurgen Grefe, menyifatkan pemusnahan barangan tiruan itu adalah satu kejayaan bagi pihaknya dan pelanggan Continental.
"Produk asli sememangnya berkualiti tinggi dan menjamin penggunaannya lebih selamat manakala produk tiruan tidak dijamin tahap keselamatannya.
"Produk tulen direka menggunakan bahan berkualiti tinggi dan faktor keselamatan sentiasa diutamakan," katanya.
Sebagai contoh, penggunaan brek cakera tiruan pada kenderaan berat seperti lori boleh menyebabkan pemandu mengalami masalah brek dan seterusnya gagal memberhentikan kenderaan hingga berlakunya kemalangan dahsyat.
"Kos membaikpulih akan menjadi lebih tinggi berbanding menggunakan produk asli yang jauh lebih selamat dan terjamin," katanya.