United lwn BarcelonaBARCELONA, Sepanyol - Manchester United kembali ke Stadium Nou Camp menentang Barcelona hari ini dalam usaha mencatat kemenangan bersejarah dalam Liga Juara-Juara.
Juara bertahan dan pendahulu Liga Perdana England itu berdepan kelab Catalan, juara edisi 2006 pada separuh akhir pertama dan pemenang akan bertemu sama ada Arsenal atau Liverpool.
Barca dan Manchester United belum pernah kalah sepanjang Liga Juara-Juara musim ini dan Pengurus
Red Devils, Alex Ferguson yakin perlawanan hari ini hebat dan dipenuhi aksi menarik.
"Pada musim 98-99, kami seri 3-3 di Barcelona dan 3-3 di Manchester. Ia perlawanan yang hebat.
''Keputusan tersebut menunjukkan kedua-dua pasukan gemar permainan menarik dan corak menyerang.
"Mungkin kita akan melihat kembali aksi tersebut di separuh akhir kali ini,'' kata Ferguson.
Perlawanan hari ini bukan sekadar pertemuan dua kelab gergasi tetapi pertembungan dua pemain paling menakjubkan di dunia iaitu pemain United, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, penyerang Barca.
"Liga Juara-Juara memberi semangat lebih kepada saya. Saya tidak berkesempatan beraksi di Paris (ketika Barca muncul juara edisi 2006). Saya mempunyai perhitungan yang belum selesai dalam kejohanan ini dan saya mahu memenanginya.
"Messi seorang pemain yang hebat, Saya gembira dapat beraksi dengan pemain sepertinya. Kami tampak hampir serupa, sentiasa mahu menjaringkan gol dan menang perlawanan,'' ulas Ronaldo mengenai lawannya.
Ronaldo menerajui senarai penjaring kempen Liga Juara-Juara dengan menjaringkan gol dalam tujuh perlawanan tetapi bakal berdepan penjaga gol Barcelona, Victor Valdes yang belum melepaskan gol pada tiga perlawanan terakhir.
"Sasaran kami ialah menang secepat mungkin.
''Kami akan bermain untuk mencari gol di Nou Camp. Saya mahu menang tetapi pada peringkat ini ia bukan perlawanan mudah.
"Tekanan memuncak pada perlawanan ini dan anda perlukan tumpuan maksimum, apa sahaja boleh berlaku,'' kata Ronaldo.
Barca mencatat keputusan buruk dalam liga sejak akhir-akhir ini dan tercicir ke tangga ketiga dalam La Liga, tetapi ia dicatatkan tanpa kelibat Messi yang kini pulih dari kecederaan dan akan kembali beraksi hari ini.
- AFP
Perkhabaran itu menyuntik semangat rakan sepasukannya.
"Dia yang terbaik, Dia beraksi seolah-olah dia dalam permainan Playstation,'' ulas rakan sepasukan di Barcelona, Samuel Eto'o.
"Adalah penting dia (Messi) kembali dalam perlawanan dengan United kerana seluruh musim bergantung kepada perlawanan ini,'' kata pertahanan Barca, Gianluca Zambrotta.
Barca percaya Messi mampu membantu mereka menamatkan nasib kurang baik mereka hari ini dan perlawanan separuh akhir kedua, walaupun hakikatnya United adalah pasukan pilihan.
"Ramai yang meragui kemampuan kami tetapi cabaran ini perlu diharungi.
''Adakah anda ingat apa yang berlaku ke atas Milan dua musim lalu? Mereka merupakan favourite di separuh akhir tetapi kami yang muncul juara,'' kata Eto'o.
"Liga Juara-Juara cerita yang berbeza berbanding La Liga. Contohnya selepas persembahan buruk dengan Betis tiga minggu lalu, kami kemudian menewaskan Shalke (suku akhir pertama),'' kata pemain tengah, Andres Iniesta.
United menang Liga Juara-Juara 1999 di Nou Camp dengan kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich tetapi kali ini United mungkin tidak akan dibuai mimpi indah jika tuan rumah Barca berupaya memenuhi ramalan mereka.
Cuma satu kebimbangan jurulatih Barcelona Frank Rijkaard ialah Thierry Henry yang tidak berlatih kelmarin kerana demam dan belum pasti beraksi hari ini.
Namun, berikutan aksi hambar pemain Perancis itu, ketiadaannya bukan satu tamparan buat Barca.