Ronaldo mahu tutup mulut Chelsea
|
tonggak Manchester United, Cristiano Ronaldo (kanan) berazam menjaringkan gol menentang Chelsea, malam ini.
|
LONDON - Cristiano Ronaldo memberi amaran untuk menutup terus mulut Chelsea apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan yang dianggap penentuan kejuaraan Liga Perdana England di Stamford Bridge, hari ini.
Kemenangan ke atas Chelsea akan membolehkan United mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu buat tahun kedua berturut-turut.
Ronaldo yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Barcelona dalam saingan Liga Juara Juara Eropah, kelmarin percaya keputusan seri 0-0 itu tidak langsung mengikis keyakinannya dan United untuk mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara liga.
"Ia pasti perlawanan yang sukar tetapi kami belum lagi hilang punca dan keyakinan. Kemenangan amat penting di Chelsea.
"Kami tidak mahu mencicirkan lagi mata," katanya yang merupakan penjaring gol terbanyak dengan 28 gol setakat ini.
United bakal memiliki kelebihan enam mata ke atas Chelsea jika menang dan ia cukup untuk bergelar juara liga buat kali ke-17 walaupun ada baki dua perlawanan lagi selepas ini.
Kelebihan United sekali pun kalah dalam dua perlawanan terakhir itu ialah jaringan gol yang banyak berbanding Chelsea.
Ini tidak menjejaskan sama sekali kedudukan mereka biar pun terikat mata sama dengan Chelsea di penghujung saingan nanti.
Cuma apa yang boleh dilakukan Chelsea ialah terus menekan United sambil berharap nasib berpihak kepada mereka.
United menewaskan Chelsea 2-0 di Old Trafford pada September lalu namun tekanan dan misi berbeza menyaksikan pertemuan kali ini lebih menarik dan panas.
Penjaga gol Chelsea, Petr Cech mengakui ini adalah peluang terakhir pasukannya untuk menyekat United.
"Setiap pertemuan adalah perlawanan akhir bagi kami ketika ini. Kami boleh terus menekan jika menang ke atas mereka.
"Memanglah United memiliki kelebihan jaringan tetapi kami juga mempunyai kelebihan dan rekod cemerlang ketika beraksi di tempat sendiri musim ini," katanya.
Begitupun, kematian ibu Frank Lampard, kelmarin sedikit membayangi keazaman tinggi Chelsea kerana pemain tengah itu mungkin tidak diturunkan.
Bagaimanapun United juga tidak terkecuali menghadapi masalah sama apabila tonggak pertahanannya, Nemanja Vidic masih belum benar-benar pulih daripada sakit perut. - AFP