Tawar sejuta tiket percuma KUALA LUMPUR 4 Mei – Bermula esok, Malaysia Airlines menawarkan sejuta tiket percuma ke semua destinasi penerbangan domestik menerusi produk terbarunya ‘Harga Rendah Setiap Hari’.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Idris Jala berkata, syarikat penerbangan kebangsaan itu memperuntukkan secara percuma sehingga 30 peratus tempat duduk dalam setiap penerbangan bagi membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan lima bintang Malaysia Airlines pada tambang sifar.
Menurut beliau, tambang percuma itu tidak termasuk cukai lapangan terbang dan surcaj.
Beliau berkata, promosi harga rendah itu buat masa ini meliputi semua destinasi ke seluruh negara dan akan diperluaskan ke destinasi ASEAN tidak lama lagi.
“Kami telah berjanji bahawa para pelanggan akan menikmati perkhidmatan lima bintang pada harga rendah. Ramai yang beranggapan ini mustahil dilakukan tetapi sebenarnya tidak.
“Kini kami bersedia mengotakan janji itu. Buat pertama kali dalam sejarah kami, Malaysia Airlines menyediakan tawaran ‘Harga Rendah Setiap Hari’,” kata Idris dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Promosi tersebut selaras dengan pengumuman Malaysia Airlines baru-baru ini mengenai usahanya untuk menjadi Syarikat Penerbangan Bernilai Lima Bintang Dunia.
Menurut Idris, tempoh tempahan tambang percuma Malaysia Airlines bermula pada 5 Mei hingga 19 Mei ini untuk tempoh perjalanan antara 10 Jun dan 14 Disember.
Tempahan tiket hanya boleh dibuat melalui laman web malaysia airlines.com. Tiket-tiket perlu ditempah sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh berlepas.
Tiket-tiket itu tertakluk kepada beberapa syarat termasuk tiada pengembalian wang sekiranya pelanggan membatalkan penerbangan manakala tarikh penerbangan pula tidak boleh dipinda.
Idris berkata, Firefly, anak syarikat Malaysia Airlines, juga menawarkan tambang percuma.