Pelakon remaja itu kesal Ngasrizal mengaku sudah bercerai
BELUM pun reda kisah panas rumah tangga pasangan artis popular, Norman Hakim dan Abby Abadi yang bergelora gara-gara kehadiran orang ketiga sehingga membawa kepada kes tangkap khalwat Norman dengan Memey, baru-baru ini, industri hiburan terus dilanda kontroversi apabila pelakon popular Ngasrizal Ngasri atau Bell, 28, dikatakan mempunyai hubungan intim dengan artis baru, Farah Putri Mulyani Jasman Nada atau Farah Putri, 22. Akibatnya, dilaporkan berlaku pergeseran dalam perkahwinannya yang baru menjangkau usia kira-kira dua setengah tahun.
Metro Ahad terbitan 9 November lalu, melaporkan Bell dan isterinya, Nur Farhana Mahd Fauri atau lebih mesra dengan panggilan Shasha, 26, pernah menghadiri sesi kaunseling di pejabat agama sekitar ibu kota, baru-baru ini, untuk mendapat nasihat berhubung kata-kata `karang aku cerrr...' yang pernah dilafazkan Bell kepada isterinya dengan niat bergurau.
Hasil perkongsian hidup Bell dan Shasha, pasangan itu dikurniakan bayi comel, Nasfazrel Nasrizal yang kini berusia tujuh bulan.
Desas desus memberitahu Zubir, Bell dikatakan pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) cerai kepada Shasha. Namun, Bell ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Pepaya di Sungai Chincin, Gombak, menafikan dia bercerai dengan Shasha atau menjalin hubungan intim dengan Farah Putri.
Itu versi cerita Bell. Sebaliknya, Zubir berjaya teropong cerita yang lebih panas! Menurut sumber yang rapat dengan Bell mahupun Farah, ketika kedua-dua pelakon itu membintangi telemovie, Bakal Menantu Datang Beraya, mereka membawa watak sebagai pasangan kekasih dan ketika itulah Zubir dengar cerita, kononnya Bell pernah melafazkan kalimah I love you kepada Farah!
Zubir berjaya menghubungi Farah yang ketika itu berada di Jitra, Kedah bagi menjayakan penggambaran drama bersiri 26 episod, Katsarin untuk mendapatkan gambaran lebih jelas dalam isu ini. Benarkah dia yang menjadi punca keretakan atau orang ketiga dalam rumah tangga Bell dan Shasha?
“Tak adil rasanya menuduh saya sebagai orang ketiga. Ini kerana dari awal persahabatan antara saya dan Bell sehingga kami menjadi kawan rapat, Bell pernah memberitahu saya, dia sudah pun bercerai dengan Shasha! Justeru, apabila baru-baru ini keluar kenyataan Bell di media massa mendakwa rumah tangganya aman damai, bermakna selama ini Bell menipu saya!
“Saya kecewa kerana dalam usahanya mendapat perhatian saya, Bell sanggup berbuat apa saja termasuk mencari ruang untuk bertemu saya setiap hari tak kira betapa sibuknya saya di lokasi. Bell juga sanggup menunggu saya habis shooting kadang kala sehingga lewat pagi,” kata Farah membongkar segala rahsia yang selama ini tersimpan rapi.
Farah juga berharap masyarakat tidak terlalu cepat menghukum wanita sebagai orang ketiga apabila berlakunya kes seumpama ini, sebaliknya berfikir, situasi seperti itu sebenarnya berpunca daripada sikap si suami yang gemar memperdayakan isterinya demi mencari keseronokan dengan wanita lain di luar rumah!
“Saya tampil dengan penjelasan ini supaya Bell bersikap jujur dan bersedia berdepan kenyataan, sekali gus tidak lari daripada mengakui kesilapannya. Jangan bersikap mementingkan diri sendiri, saya juga ada maruah dan nama keluarga yang harus dipelihara,” kata Farah memberi nasihat kepada Bell.
Zubir sebagai orang luar tidak tahu cerita sebenar, sekadar melaporkan saja. Justeru, Zubir harap baik Bell, Shasha mahupun Farah buatlah yang terbaik untuk kebaikan bersama, mudah-mudahan rumah tangga Bell dan isterinya masih mampu bertahan hingga hujung nyawa.