[email][/email]
EDINBURGH: Seorang wanita yang cemburu dengan kebahagiaan rakannya mendapat anak, menyuntik bayi itu dengan insulin melebihi dos, lapor akhbar The Telegraph.
Tindakan Veronica Duncan, 41, jururawat yang kehilangan anak perempuan dan cemburu dengan anak rakannya yang sihat, menyebabkan mangsa kini bertarung nyawa.
Dia kemudian muncul di hospital tempat bayi itu dirawat dan gagal mendedahkan apa yang dilakukannya ketika kakitangan berusaha menyelamatkan mangsa.
Bayi perempuan berusia empat bulan itu dikatakan mempunyai masa cuma tiga minit untuk hidup apabila doktor menyelamatkan nyawanya.
Sebelum jenayah Duncan terbongkar, kes perlindungan kanak-kanak dilancarkan yang meletakkan ibu bapa mangsa di dalam pengawasan.
Mahkamah Tinggi Edinburgh diberitahu mereka kini membalut bayi itu di dalam ‘benang kapas’ dan amat takut setiap kali dia tidur.
Duncan, yang ditahan di hospital psikiatri, pada awalnya didakwa dengan cubaan membunuh tetapi kemudian mengaku terhadap dakwaan membahayakan nyawa bayi berkenaan.
Pendakwa, Alastair Brown, berkata keluarga bayi itu amat marah kerana Duncan muncul di hospital untuk 'memantau' proses kematian anak mereka. - Agensi