Kain rentang desak PM undur
Mar 14, 08 11:01pm
Tidak cukup dengan desakan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan surat peribadi anaknya agar Perdana Menteri meletakkan jawatan, pihak yang tidak dikenali turut menaikkan kain-kain rentang di beberapa batang jalan utama di pinggir Kuala Lumpur.
Dr Mahathir membuat gesaan itu sehari selepas tamat pilihanraya umum, sementara Datuk Mukhriz Mahathir pula mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Ahmad Badawi "mengambil tanggungjawab" atas ketewasan teruk itu.
Hari ini surat peribadi Mukhriz kepada Abdullah pula disebar meluas di internet.
Selain dua gesaan ini Malaysiakini difahamkan, sejak beberapa hari lalu, sekurang-kurangnya 15 keping kain pemidang diletakkan di beberapa tempat strategik seperti di jejantas mendesak Datuk Seri Abdullah Ahmad Ahmad Badawi bertanggungjawab atas ketewasan teruk BN.
Kain-kain rentang berlogokan Umno itu - yang dipercayai disediakan oleh penyokong-penyokong Umno sendiri - diletakkan, antaranya, di Jalan Tun Razak, depan Ampang Point, lebuh raya Ulu Klang, Jalan Jelatek (Keramat) dan juga Pandan Indah.
Tulisan di kain-kain itu berbunyi, antara lain: "Jangan main-main dengan bangsa Melayu. Pak Lah letak jawatan", "Anak cucu cicit kita akan tergadai. Pak Lah berundur" dan "Janganlah menang bersorak, kampung tergadai, Pak Lah undur."
Ketua Puteri Umno Datuk Noraini Ahmad dilaporkan menafikan pergerakan itu terlibat memasang kain rentang itu dan mendakwa ada pihak tertentu, termasuk pembangkang, yang memperalatkan nama pergerakan itu.
"Tidak ada kerja lain, banyak duit mereka untuk cetak dan gantung di semua kawasan.
"Kami dapati semua kain rentang tersebut mempunyai warna, saiz dan bentuk yang serupa tetapi nama bahagian sahaja diubah dan kami syak itu kerja parti pembangkang," beliau dipetik oleh Bernama sebagai berkata hari ini.
Sementara itu dua laporan polis telah dibuat oleh Pemuda Umno bahagian Wang Maju dan Puteri Umno bahagian Bandar Tun Razak berhubung pemasangan kain-kain rentang tersebut.