PENGELUAR tayar terkemuka, Continental Sime Tyre Sdn Bhd (CST) melancarkan enam versi tayar pacuan empat roda (4X4) pelbagai fungsi baru yang bersesuaian dengan muka bumi dan permukaan jalan di Asia.
Pada majlis pelancaran itu, CST mengeluarkan 40 saiz tayar berbeza untuk kegunaan pemilik kenderaan 4X4 dan Kenderaan Sport utiliti (SUV) yang ingin menggalas cabaran pengembaraan hutan belantara sehingga kepada mereka yang gemar memecut laju di lebuh raya.
Ujian yang dilakukan di sepanjang laluan mencabar di Bukit Kokol, Menggatal, Sabah, baru-baru ini jelas menunjukkan keupayaan tayar CrossContact AT Continental berupaya meredah laluan berbukit mencabar tanpa sebarang masalah.
Rekaan bunga tayar yang lebih lebar dan kasar membolehkan cengkaman di laluan berlumpur begitu mengagumkan walaupun ketika mendaki bukit yang curam.
Selain itu, ujian di jalan raya sepanjang Kota Kinabalu menggunakan tayar versi Conti CrosstContact LX juga membuktikan ia lebih senyap dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan tinggi.
Sesi uji pandu selama satu hari itu turut disertai Timbalan Presiden Eksekutif Continental Asia, Dr Andreas Esser, Ketua Pegawai Eksekutif Continental Sime Tyre, Benoit Henry, Pengarah Pemasaran Asia, Peter Hofmann, jurutera dan beberapa wartawan dari Thailand, Filipina, dan Indonesia.
Siri CrossContact AT direka untuk mereka yang inginkan cengkaman maksimum ketika meredah laluan sukar tetapi tidak berkompromi dengan tahap keselamatan ketika digunakan di jalan biasa.
CrossContact LX pula memberikan kepuasan ketika meredah laluan tidak berturap dan berupaya melalui jalan biasa dengan lebih selesa manakala siri CrossContact UHP dan Conti 4X4 SoprtContact direka untuk kenderaan yang berkuasa tinggi seperti Porsche Cayenne, BMW X5 atau Volvo XC90.