Jian Beng, Marellyn atlit terbaik
Sukma XII dianggap paling 'bersih' kerana tiada bantahan pengadilan berat sebelah
DUA atlit renang, Foo Jian Beng dan Marellyn Liew ditabalkan selaku Atlit Lelaki dan Wanita Terbaik Sukma XII pada upacara penutup temasya itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
Pemilihan kedua-dua atlit itu sudah diduga berdasarkan kejayaan mereka mencipta rekod kebangsaan di kolam renang MBKT, Batu Burok sepanjang temasya sembilan hari itu, mengulangi pencapaian dua atlit renang, Daniel Bego dan Cindy Ong pada Negeri Sembilan 2004 serta Allen Ong dan saya Wai Yen pada Pulau Pinang 2000.
Jian Beng, 18 yang belum pernah dipilih mewakili Malaysia meleburkan rekod kebangsaan tujuh tahun Allen Ong dalam 100m gaya bebas disusuli rekod kebangsaan keduanya dalam 50m gaya bebas.
Perenang kelahiran Shah Alam itu turut meraih emas dengan catatan rekod kejohanan acara 50m kuak kupu-kupu dan merangkul emas keempatnya dalam 4x100m gaya bebas, selain empat perak dan satu gangsa.
Perenang Sabah, Marellyn, 19, yang juga bukan perenang kebangsaan melakar rekod kebangsaan 100m kuak kupu-kupu dan dua dua rekod kejohanan acara dalam 50m kuak kupu-kupu dan 4x100m gaya bebas.
Sementara itu, biarpun tidak boleh dianggap penganjuran terbaik, Sukma XII Terengganu dilihat paling ‘bersih’ berikutan ketiadaan bantahan pengadilan berat sebelah yang memihak tuan rumah seperti lazimnya.
Dengan tiada bantahan yang dikemukakan kepada jawatankuasa rayuan, ia menguatkan hujah kredibiliti Terengganu sebagai juara keseluruhan dengan himpunan 61 emas diikuti juara lalu, Selangor (54) dan Sarawak (51).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, buat pertama kali dalam sejarah Sukma, jawatankuasa rayuan tidak perlu dipanggil untuk bersidang sepanjang sembilan hari temasya.
“Penganjuran Sukma kali ini adalah yang terbaik apabila buat pertama kali, jawatankuasa rayuan tidak dipanggil untuk bersidang sepanjang temasya ini berbanding sebelum ini apabila terdapat bantahan terhadap tuan rumah yang bersifat berat sebelah,” katanya selepas menyaksikan final acara regu sepak takraw, semalam.
Bagi Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, kejayaan kontinjen negeri itu melonjakkan diri sebagai juara keseluruhan pada Sukma kali ini menandakan kemunculan Terengganu sebagai kuasa baru sukan di Malaysia.
“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian atlit Terengganu, ia adalah anjakan ke depan buat sukan di Terengganu," katanya.
Ditanya mengenai masalah penganjuran Sukma kali ini, dia berkata: "Sepanjang penganjuran tiada terdapat rungutan besar, hanya rungutan kecil-kecil."
Hak Cipta Terpelihara 2007 - Berita Harian Sdn. Bhd. Emel kami sebarang maklum balas.