KUALA LUMPUR: Pengguna komputer diingatkan lebih berhati-hati berikutan
kemunculan sejenis virus yang mampu mengganggu sistem dan aplikasi
komputer dikenali dengan ‘Virus 666’.
Kehadiran
virus itu dapat dikesan pada pemacu utama C (C Drive) melalui fail
bertajuk HELP.ME!!.html. Jika fail itu dibuka, satu fail lain akan
muncul pada skrin komputer yang memaparkan perkataan ‘Kiriman Dari
Neraka’ yang turut menyentuh beberapa isu, selain nama pelayan turut
diletakkan di bahagian penjuru bawah fail itu.
Virus itu dikesan beberapa bulan lalu mula mengganggu dunia maya dan kebiasaannya dikenali dengan nama fail flash.10.exe.
Dipercayai semua sistem komputer boleh dijangkiti virus itu sebaik membuka fail mesej yang tertera ‘Kiriman dari Neraka’.
Beberapa cara dikenal pasti menjadi landasan utama penyebaran virus itu
terutama ketika pengguna mengakses disket, cakera liut atau pemacu
storan luaran yang berkemungkinan dijangkiti virus itu. Ia turut
menyerang komputer ketika pengguna memuat turun program Internet.
Pengguna
komputer diingatkan berwaspada dengan program atau fail mempunyai nama
sambungan seperti .EXE, .VBS, .COM, .SYS selain nama fail sambungan
seperti .doc, .xls dan .zip kerana virus itu kebiasaannya dikesan dalam
keadaan itu.
Difahamkan, amalan menggunakan pemacu storan mudah
alih tanpa mengimbasnya terlebih dahulu sebelum disambungkan ke
komputer antara punca utama virus itu merebak.
Naib Presiden
Dapat Vista Sdn Bhd dan pengasas dapat.com, Azli Paat, berkata virus
itu boleh menyebabkan produktiviti sesebuah syarikat menurun berikutan
ia mampu memperlahankan kelajuan sistem komputer.
“Sejurus
dijangkiti, virus itu akan menyalin semula fail dalam fail sistem dalam
kuantiti yang banyak, sekali gus menyebabkan proses membuka mana-mana
program dalam komputer menjadi perlahan.
“Virus itu tidak dapat
menghilangkan data, cuma kesannya dapat dilihat dari segi kelajuan
kadar pemprosesan komputer, namun ia perlu diberi perhatian,” katanya.
Azli
berkata, virus yang dipercayai berpunca daripada pemacu storan luaran
itu turut mampu menjangkiti komputer lain jika tidak diimbas
menggunakan sistem antivirus yang sentiasa dikemaskini.
“Pengguna
boleh memuat turun sistem antivirus yang disediakan di Internet dan
perlu memastikan sistem itu sentiasa dikemaskini bagi mengelak kejadian
sama berulang,” katanya.
Sebelum ini, beberapa virus besar
dikenal pasti seperti LoveBug dan King Trojan dikesan mengganggu sistem
komputer pengguna selain beberapa virus lain yang memuat turun
‘diri’nya sendiri seperti Brontok dan Worm.
Antara tanda virus
itu mula menyerang komputer ialah kelajuan RAM komputer mula menurun
dan proses menutup semua tetingkap window menjadi perlahan selain
pelbagai fail baru akan dicipta sendiri seperti Flash.10.exe,
msconfig.com, cmd.com, ping.com, regedit.com, aweks.pikz, seram.pkz,
msn.msn dan sebagainya.
Dunia perkomputeran sebelum ini pernah
digemparkan dengan kehadiran virus ‘Melissa’ pada 1999 yang mampu
mencipta fail “script.ini” terus ke direktori sembang maya melalui
komputer yang dijangkiti virus sebelum menghantar dirinya sendiri
melalu laman sembang kepada mangsa seterusnya, iaitu mereka yang
memilih untuk bersembang melalui saluran sembang maya dengan komputer
mangsa yang dijangkiti.