Ekin botak, Yazer OK!YAZER (kanan) tak kisah Ekin membotakkan kepala.
Agaknya beranikah anda melakukan sesuatu yang drastik jika mengalami masalah rambut yang teruk? Itulah yang dilakukan oleh penyanyi kecil molek kelahiran
Akademi Fantasia 3, Ekin - botak!
Ada yang menuduh dia cuba mencari publisiti murahan. Tetapi tegas anak kelahiran Sabah ini, jika itu yang dicarinya, bukankah elok dibuat dahulu lagi.
Realitinya, Norashikin Abdul Rahman sudah kecewa dengan masalah rambut gugur yang dihadapinya. Sudah pelbagai cara dicuba untuk mengatasinya namun tidak berjaya.
Masalah bertambah kronik apabila ada bahagian kepalanya yang mula bertompok-tompok botak. Atas nasihat beberapa teman jurusolek, dia mengambil keputusan yang amat berani iaitu 'menghapuskan' rambut asalnya.
Hasilnya boleh dianggap cantik dan
rugged. Malah itulah juga perkataan pertama yang dilafazkan oleh Yazer, orang paling rapat dengan Ekin.
"Semasa saya di MMS hasil 'kerja' Ekin dan kakaknya, saya terus mengatakan Ekin sangat
rugged!," ujar Yazer sambil membelai rambutnya sendiri yang sudah mencecah bahu.
Pernyataan Yazer ini juga menolak fitnah sesetengah pihak yang menyangkakan mereka tinggal sebumbung kerana kalau betul pasti Yazer yang akan tahu dahulu.
Ekin nekad membotakkan kepala pada Subuh 3 Jun lalu. Kelibat Demi Moore yang pernah botak dalam televisyen juga seolah-olah datang tepat pada masanya.
"Saya tahu ada orang cakap belakang dan mengutuk saya. Saya bersedia dengan reaksi itu. Cuma awalnya saya sedih dengan tuduhan liar orang," ujar Ekin yang sesekali mencuci rambutnya walaupun sudah botak.
Buat Yazer pula, walaupun suka menyakat Ekin dengan panggilan 'Botak' atau 'Alien', dia memberi kata semangat kepada Ekin agar berani berhadapan khalayak berikutan tindakannya itu. Malah dia merasakan penampilan baru Ekin itu menambah warna dalam keperibadian gadis itu.
"Kalau nak tahu, dia ni bukanlah jenis ayu dan feminin sangat. Ada nakal juga. Malah dia layan Slipknot dan Korn," kata Yazer yang berpesan agar Ekin tahu 'membawa' rambut barunya ini dengan stail yang betul.
Tertawa Ekin mengingatkan zaman lampaunya yang turut terikut-ikut untuk menjadi Avril Lavigne - berambut lurus panjang. Waktu itu dia tidak ambil peduli dengan bahaya bahan kimia yang disapukan ke atas rambutnya berkali-kali dan terakhir dia berambut panjang adalah separas pinggang.
Kini Ekin mengakui ramai juga yang menyukai penampilan beraninya ini. Bahkan mereka menyatakan dia lebih seksi dan cantik.
Menyentuh perihal pakaian yang mahu disamakan dengan gaya rambutnya, Ekin berkata dia mengamalkan stail
mix and match yang betul.
"Satu saja yang tak berapa seronok apabila stail begini, kadang-kadang saya rasa macam tak mandi walaupun sudah dilakukan beberapa kali," tawanya yang sekarang bebas daripada pengurusan Maestro dan sedang menimbangkan beberapa tawaran.
Yazer menyifatkan Ekin tetap cantik dan tidak membezakan gaya rambut baru Ekin ini.
Ekin yang pada awalnya tidak cukup tidur kerana tertekan dengan kata-kata orang, pernah terdetik di hatinya kalau-kalau Yazer 'lari' meninggalkannya hanya kerana dia botak.
Ternyata mereka masih mesra dan manis bersama walau gaya rambut mereka begitu kontra.
- SOFIATUL SHIMA