Rakyat Austria perlu ubah sikap
[url=mailto://][/url] INGIN TAHU: Penduduk dan wartawan tempatan berkumpul di depan rumah Josef Fritzl (gambar kecil) tempat dia mengurung anak perempuannya, Elizabeth selama 24 tahun dan melakukan sumbang mahram sehingga melahirkan tujuh anak.
|
Gaya hidup tertutup punca kes bapa kurung, perkosa anak 24 tahun tidak diketahuiAUSTRIA: Pembongkaran kes seorang bapa sanggup mengurung anak perempuannya di bilik bawah tanah tanpa tingkap selama 24 tahun dan memperkosanya sehingga melahirkan tujuh anak Khamis lalu, menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat di sini.
Ia juga menimbulkan pertanyaan di kalangan penduduk Amstetten mengenai gaya hidup tertutup dan terlalu gemar pada kehidupan persendirian yang mengakibatkan berlakunya kejadian seperti ini.
"Peristiwa ini menunjukkan sistem yang kita amalkan selama ini tidak boleh diguna pakai," kata Wolfgang Bachmayer, seorang pakar runding imej.
"Apa yang diperlukan ialah sebuah masyarakat bertanggungjawab dan sanggup memainkan peranan secara bersama," kata Bachmayer, yang mengetuai Institut Pemasaran Austria.
"Pihak berkuasa boleh melatih anggota mereka untuk memerhati semua tempat dan mengambil tahu apa yang berlaku di dalam sesebuah rumah." katanya.
Polis mendakwa Josef Fritzl mengakui melakukan perbuatan itu ke atas anak perempuannya, Elisabeth – kini 42 tahun – yang dikurung ketika dia berumur 18 tahun, merogol, menjadi bapa kepada tujuh anak dengan Elisabeth dan memasukkan mayat salah seorang bayi Elisabeth ke dalam corong api apabila bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan.
Pihak berkuasa menyatakan ujian DNA mengesahkan Fritzl adalah bapa biologikal keenam-enam anak yang masih hidup itu, tiga daripada mereka hidup sebagai anak angkat Fritzl dan isterinya dan mereka membesarkan ketiga-tiganya di tingkat atas.
Tiga lagi anak berada dengan Elisabeth, ditemui di bilik bawah tanah dan tidak pernah melihat cahaya mata hari sehingga usia 19, 18 dan 5 tahun. Akhirnya Sabtu lepas mereka mendapat kebebasan seperti orang lain.
Seorang penduduk, Maria Scheuch berkata beliau yakin sikap masyarakat Austria yang tertutup dan hanya ingin mengambil tahu hal diri sendiri saja, perlu diubah.
"Walaupun kita mendakwa yang kita mesra kanak-kanak, kita harus juga bertanya kepada diri kita sendiri, sejauh manakah kita sanggup melakukan sesuatu," ujarnya.
Di negara ini, keadaan di mana penduduk di sebuah lorong yang sama tidak pernah bertegur antara satu sama lain walaupun bertembung di jalan raya bukan perkara luar biasa. Ia adalah cara kehidupan di Austria.
Selepas kes berkenaan didedahkan, barulah muncul saksi mendakwa mereka ternampak atau terdengar aktiviti pelik berlaku pada kegelapan malam, seperti Fritzl membawa makanan dan minuman yang banyak masuk ke dalam rumahnya menerusi pintu belakang.
Mengapa mereka tidak menghebahkan perkara ini dulu, tanya sebahagian besar rakyat Austria kini. "Kejadian ini boleh berlaku di mana-mana saja tapi kini nama Austria terbabit dan orang akan menyatakan, Austria adalah bumi yang mempunyai penjara di bawah tanah," kata Karin Cwrtila. – AP