SETELAH sekian lama menjalinkan hubungan cinta, ikatan antara kamu dan dia diibaratkan seperti dua kutub yang berbeza. Mungkinkah si dia teman sehati sejiwa yang dicari selama ini? Atau lebih baik putuskan sahaja hubungan dengannya?
Baik wanita mahupun lelaki, dapat dihitung dengan jari berapa kali mereka berperang dingin selama menjalin hubungan. Ia sama rutinnya dengan jadual menstruasi wanita pada setiap bulan.
Kebiasaannya, pertelingkahan akan tercetus disebabkan kurang persefahaman, komunikasi atau tingkah laku baik lelaki mahupun wanita, tetapi masing-masing tidak mahu mengakui kesalahan diri sendiri meskipun merasakan terdapat persamaan antara mereka.
Kata orang, pergaduhan selalunya akan berakhir dengan ikatan kasih sayang tetapi ada juga yang diakhiri dengan ucapan selamat tinggal.
Jalan terbaik, kumpul dan jumlahkan masa pertengkaran kamu berdua, lantas anggaplah sebagai satu indikasi bahawa si dia bukan lagi teman sehati sejiwa kamu.
*** Membaca tanda
Penantian seribu penyeksaan. Ramai orang mencari dan menunggu insan bergelar teman sejiwa sehingga bertahun-tahun lamanya. Malah, ramai juga yang mempercayai ada seseorang yang diciptakan untuk mereka.
Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Rutgers Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2001 mendapati, 94 peratus daripada masyarakatnya yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 29 tahun mengharapkan pasangan mereka menjadi teman sehati sejiwa selepas berkahwin.
Sehingga kini, tiada lagi teori yang mengatakan semua orang memahami definisi belahan jiwa. Secara umumnya, definisi teman sehati sejiwa adalah seseorang yang mempunyai cara pemikiran dan perasaan yang sama atau secocok dengan pasangannya.
Merujuk pada buku 21 Ways to Attract Your Relationship oleh seorang pakar perhubungan, Arian Sarris, beliau telah memberikan beberapa ciri-ciri seorang teman sehati sejiwa, dalam mengukuhkan lagi ikatan cinta dengan pasangannya.
*** Saling membantu
Tidak kira siang atau malam, panas atau hujan, kamu dan si dia sentiasa saling bantu-membantu.
Bantuan yang dihulurkan tidak perlulah melibatkan orang lain. Ini kerana, dengan hanya melibatkan tenaga kamu berdua, semua yang dilakukan akan terasa lebih menyenangkan.
*** Bersikap santai
Adakah si dia seorang yang bersikap santai ketika bersama kamu? Ini bukan bermakna dia bersikap berlebih-lebihan untuk mengesan gerak-geri kamu, tetapi dia tidak terlalu memilih atau mementingkan cara berpakaian, gerak-geri, cara berbicara sewaktu bersama kamu. Setiap ucapan yang dilemparkan tampak begitu spontan dan tidak palsu.
*** Konteks jiwa
Kehadiran kamu seperti sudah dikurniakan untuknya. Tanpa perlu berbicara, kamu dan si dia seperti sudah memahami apa yang ingin dikatakan. Saling memahami hati dan perasaan, sehingga boleh menduga setiap reaksi serta fikiran pasangan pada situasi yang tertentu.
*** Tidak kenal erti jemu
Meskipun hampir berjam-jam kamu dan si dia menghabiskan masa bersama, tetapi perkataan jemu atau bosan tidak pernah sesekali bermain di bibir. Bagi kamu, tiada yang lebih membahagiakan selain dapat bersama.
*** Hadir di setiap situasi
Siapakah insan pertama yang akan hadir tatkala kamu dirundung masalah? Adakah dia atau teman-teman sepejabatmu?
Sekiranya ya, dia seorang yang paling memahami kamu sekali pun ketika di saat mengalami simptom pramenstrual. Tanpa perlu dipinta, dia seringkali datang kepada kamu dalam apa jua situasi yang berlaku.
*** Saling terbuka
Di hadapannya, kamu sering menceritakan tentang masa lampau ahli keluarga dan begitu juga sebaliknya. Bercerita tentang apa yang pernah kamu berdua lakukan pada masa lalu, tanpa mengubah perasaan kamu berdua. Kamu tidak malu untuk memperlihatkan kekurangan diri, bahkan tiada masalah apabila tampil kelakuan aneh di hadapannya.
Jika tanda-tanda ini terdapat pada si dia, kamu memang seorang yang beruntung. Namun, bagaimana pula di sebaliknya? Jangan terburu-buru untuk membuat keputusan, fahami dan bincang secara profesional.
*** Cinta perlukan ujian
Sebahagian besar pasangan yang baru menjalinkan hubungan cinta akan menganggap, mereka sememangnya ditakdirkan untuk bersama. Tetapi pada umumnya, perasaan manis itu akan berakhir jua setelah persoalan hidup mulai timbul.
Kadang-kadang, manusia sering termakan tema percintaan. Bila merasakan diri tidak secocok, lalu mereka akan mengambil kesimpulan dengan cara memutuskan sahaja perhubungan.
Apa yang berlaku akan dijadikan kebenaran untuk mengakhiri sesebuah hubungan? Padahal, untuk menjadi seorang teman sehati sejiwa, ia perlu diuji dengan ketepatan waktu dan cara menambat hati pasangan.