Sabah harap caj elektrik kekal
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
[url=mailto://][/url]
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap kenaikan tarif elektrik di Semenanjung mulai 1 Julai ini tidak dilanjutkan di negeri ini bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel.
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata setakat ini Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) belum berbincang dengan kerajaan negeri mengenai cadangan menaikkan tarif elektrik.
"Jika berlaku kenaikan tarif elektrik, ia harus pada kadar rendah supaya rakyat tidak tertekan berikutan kenaikan harga minyak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pasar Raya 1Borneo, di sini semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Husin dan Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun.
1Borneo yang dilengkapi ruang pejabat, pusat perniagaan, pusat beli-belah, hotel dan kondominium dibangunkan oleh Warisan Harta Sdn Bhd dan Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd di atas tapak seluas 9.32 hektar di Jalan Sulaman, berhampiran Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini.
Musa yang juga Menteri Kewangan negeri mengakui kenaikan harga diesel dan petrol memberi tekanan kepada rakyat negeri ini, terutama golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan terbabit supaya mengamalkan budaya berjimat cermat dan hanya membeli barangan yang benar-benar perlu.
Katanya, kerajaan negeri akan berusaha melaksanakan pendekatan untuk mengurangkan bebanan rakyat, termasuk pemberian subsidi dalam bidang pertanian.
"Kenaikan harga minyak mempengaruhi tarif elektrik dan harga makanan. Keadaan ini tidak dapat dielakkan oleh kerajaan. Cara terbaik untuk menanganinya ialah mengelak daripada berbelanja secara boros," katanya.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Musa berkata 1Borneo mampu menarik pelabur tempatan dan asing ke negeri ini, selain membantu menggalakkan industri pelancongan.