First topic message reminder :
KUALA LUMPUR 31 Mei - Mulai 1 Disember ini, kotak-kotak rokok akan
dicetak dengan gambar penyakit kronik termasuk kanser paru-paru akibat
merokok sebagai langkah peringatan keras dan pencegahan tabiat
berkenaan di kalangan orang ramai.
Menteri Kesihatan, Datuk Liow
Tiong Lai berkata, amaran kesihatan terbaru itu akan merangkumi 40
peratus gambar penyakit tersebut di bahagian hadapan kotak rokok dan 60
peratus lagi di bahagian belakang.
Menurutnya, istilah-istilah
seperti rendah atau 'ringan' kandungan tar dan nikotina yang tertera di
kotak rokok selama ini tidak lagi akan dibenarkan.
Katanya, ini kerana ia memberi gambaran seolah-olah rokok selamat dihisap disebabkan kandungan bahan berkenaan rendah.
"Untuk
peringkat permulaan, enam keping gambar penyakit berlainan berkaitan
tabiat merokok akan digunakan secara bergilir-gilir selama dua tahun.
"Industri
rokok diberi tempoh enam bulan untuk mematuhinya sebelum peraturan baru
itu dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Disember nanti.
"Jika masih
gagal berbuat demikian selepas daripada tarikh itu, kompaun sehingga
RM5,000 akan dikenakan kepada pengusaha rokok," katanya pada sidang
akhbar di Stadium Latihan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari
ini.
Terdahulu, Tiong Lai merasmikan Hari Tanpa Tembakau peringkat kebangsaan 2008 yang bertemakan 'Belia Benci Rokok'.
Berdasarkan
hasil Tinjauan Kesihatan dan Mobiditi Ketiga 2006, sebanyak 2.73 juta
orang menghisap sebanyak 33 juta batang rokok sehari dengan
perbelanjaan sejumlah RM8.59 juta sehari.
Kesemua langkah
terbaru itu, kata beliau, akan dilaksanakan selepas pindaan yang dibuat
pada Peraturan-Peraturan Langkah Kawalan Hasil Tembakau 2004.
Tambahnya,
ia turut konsisten dengan peruntukan Artikel 11, Konvensyen Rangka
Kerja Kawalan Tembakau WHO (FCTC) (pembungkusan dan pelabelan).
Katanya, pindaan berkaitan langkah itu telah diluluskan oleh Kabinet pada awal tahun ini.
Mengulas
lanjut, Tiong Lai memberitahu, penjualan rokok juga tidak boleh
dilakukan dalam bentuk promosi, diskaun serta edisi terhad, selain
dijual bersama bahan lain untuk menarik minat orang ramai.
''Umpamanya, jualan pakej rokok tidak boleh lagi dijual dengan pemetik api,'' katanya.
Dalam
pada itu, beliau memberitahu, semua kem Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa
serta-merta.
Mengenai penguatkuasaan pula, beliau berkata, pegawai kementerian akan turun padang bagi memastikan peraturan itu dipatuhi.
sumber : utusan malaysia