DI kalangan teman-teman sebayanya, sudah ramai yang menamatkan zaman bujang dengan lelaki pilihan hati.
Namun, dia masih lagi bersendirian menjalani kehidupan yang masih sama pada pandangan mata kasar orang ramai.
Barangkali juga, sudah penat melayan pertanyaan yang bukan sahaja di
kalangan ahli keluarga bahkan juga teman-teman di sekeliling.
Itulah harganya bagi mereka yang belum menemui jodoh. Apatah lagi
bagi wanita popular seperti satu-satunya penyanyi rock wanita yang
disegani ramai, Ella.
Pada usia yang bakal menginjak 42 tahun, Ella secara peribadi
sebetulnya, sudah penat dan sesekali tiada upaya untuk menjawab bila
pula gilirannya untuk naik pelamin.
Ella punya segala-galanya - kecantikan, populariti, pengaruh dan
kekayaan. Namun, hanya satu yang terus didambakannya, lelaki yang boleh
menjadi teman hidupnya.
Sudah beberapa musim percintaan dilaluinya, sayang sekali semuanya tidak bertahan lama.
Dan Hits mewakili sebilangan besar peminat-peminatnya menyuarakan
hal yang sama dengan harapan artis yang pernah mencetus fenomena dengan
alunan lagu-lagu rocknya tidak berkecil hati.
Mujur, Ella seorang yang rasional. Bagai sudah mengerti apa yang
sarat di fikiran, soalan ‘cepumas’ mengenai rahsia peribadi dijawab
penuh jujur.
“Siapa yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.
Semua orang mempunyai keinginan untuk berkeluarga cuma kita kena
fikirkan perkahwinan ini bukan satu perkara yang main-main.
“Kena fikir banyak kali sebelum kita berkahwin. Jangan ikut orang
nak kahwin kita pun nak kahwin. Saya kena fikir yang terbaik untuk diri
saya, sebab saya tak mahu kahwin dan cerai di kemudian hari," katanya
dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Secara peribadi, pemilik nama sebenar Noorzila Aminuddin mengakui,
dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri.
“Masa akan menentukan segala-galanya. Kalau ada jodoh tak ke mana.
Apa yang boleh saya katakan sekarang saya berkawan dengan ramai orang.
“Tapi saya harap semua orang akan membuka minda dan tak memikirkan sesuatu yang negatif pada orang-orang yang tidak berkahwin.
“Janganlah fikir yang bukan-bukan dan membuat bermacam-macam
spekulasi mengenai kenalan-kenalan saya,” ujar artis yang sudah lebih
dua dekad mengharungi kehidupan sebagai anak seni itu lagi.
Barangkali juga, enggan fikirannya dibebani dengan isu perkahwinan
juga, Ella lebih senang mengalih perbualan mengenai penerokaan barunya
dalam lapangan perniagaan.
Produk kecantikan yang diasaskannya, Beauty That Rocks mendapat sambutan di luar dugaan.
“Alhamdulillah, sambutan terhadap produk saya ini makin lama makin
memberangsangkan. Saya akan pastikan turun padang untuk bertemu bersama
agen dan pembeli,” kata Ella bercerita mengenai produk kecantikan yang
menjadi kebanggaannya.
Strategi pemasaran sedemikian jelas bekas vokalis kumpulan The Boys
itu merupakan pendekatan paling penting untuk memastikan para pembeli
produk berkenaan berasa dihargai.
“Saya rasa lebih jujur apabila kita berpeluang untuk bertemu dengan
mereka. Walaupun penat tapi saya akan pastikan saya mempunyai masa
untuk diluangkan bersama mereka,” katanya menyambung perbualan.
Justeru, fokus penyanyi dan usahawan ternama ini buat masa sekarang ialah pada produk kecantikan itu.
“Ini masa depan saya dan pasti saya mahu memastikan ia berjalan
dengan lancar dan baik. Saya tak mahu sekadar separuh jalan sahaja atau
membiarkannya hanyut. Saya mahu produk saya ini kekal di pasaran dan
diterima oleh khalayak semua,” ikrar Ella lagi.
Tidak mudah melatahSekitar tahun lepas, Ella muncul dengan album baru berjudul Rama-Rama dengan keberanian Ella menampilkan pelbagai perubahan.
Lantaran perubahan yang ditampilkan, album berkenaan menjadi perbualan ramai.
Sebagai orang yang sentiasa berani menyahut cabaran, Ella
berpendapat, dia tidak perlu khuatir dan cemas dengan senario tersebut.
Sebaliknya, penyanyi yang diuruskan kerjaya seninya oleh kakak
tercinta, Jojie ini optimis peminat-peminat setianya akan menerima
segala perubahan yang ditampilkannya.
“Setiap orang perlu buat perubahan untuk kepuasan dan kebaikan diri
sendiri. Sama ada mereka terima atau tidak terpulang kerana saya tak
boleh nak penuhi kehendak semua pihak.
“Saya masih juga mahu menarik perhatian peminat lama tapi dalam masa
yang sama menerusi perubahan yang saya lakukan saya dapat menarik
peminat baru,” terang Ella mengenai rasional perubahan yang
dilakukannya.
Pada masa yang sama, Ella berjanji dia akan terus menerapkan elemen-elemen baru setiap kali muncul dengan album baru.
Perubahan kata Ella juga, amat penting kerana kerjaya seninya harus seiring dengan tuntutan dan selera muzik kontemporari.
“Saya sanggup mengambil risiko dalam setiap perubahan yang saya buat
kerana kalau tidak pastinya hidup saya juga bosan dan peminat juga
mudah jemu,” ucap Ella yang pernah popular menerusi lagu Sembilu dan
Layar Impian ini lagi.
Dalam pada itu, jelas penyanyi berbintang Leo ini, dia kini sedang
dalam perbincangan bersama syarikat rakaman untuk menghasilkan album
baru.
“Semuanya masih dalam perbincangan dan saya akan terus berkarya
kerana seni sudah sebati dengan jiwa saya biarpun pada masa yang sama
saya sibuk memberi tumpuan pada perniagaan,” janji Ella sekali lagi.
Oh ya sebelum terlupa, Ella juga sempat memaklumkan sebelum muncul
dengan album baru juga dia mahu memastikan berat badannya diturunkan
kerana azam penyanyi itu dia mahu mendapatkan berat badan yang ideal!