Itali tertekanBUFFON menyelamatkan sepakan penalti daripada Adrian Mutu.
ZURICH – Laluan Itali semakin terhimpit.
Misi mereka memburu slot ke suku akhir pada Kejuaraan Eropah (Euro) 2008 semakin sukar selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Romania pada perlawanan kedua Kumpulan C semalam.
Reputasi sebagai juara dunia nampaknya tidak menjamin laluan mudah buat skuad kendalian Roberto Donadoni itu.
Begitupun mereka seharusnya berterima kasih kepada penjaga golnya, Gianluigi Buffon yang berjaya menyekat Romania daripada mengutip tiga mata penuh di Stadium Letzigrund itu selepas menyelamatkan sepakan penalti daripada penyerang Romania, Adrian Mutu pada minit ke-82 ketika keputusan terikat 1-1.
Namun Mutu terlebih dahulu meletakkan Romania di hadapan pada minit ke-55 sebelum Christian Panucci menyamakan kedudukan buat Itali seminit kemudian.
Dengan keputusan itu Itali sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan sementara Romania yang turut seri menentang Perancis pada aksi pembukaan Isnin lalu mengumpul dua mata.
Bagi Itali mereka perlu menang ke atas Perancis pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan minggu depan selepas tewas mengejut 0-3 kepada Belanda pada aksi pembukaan.
Romania pula berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang Belanda. – Agensi