Bukan semua
Interpretasi pertama yang kerap singgah pada 'kulit luar' seorang wanita bernama Amber Chia, 27, ialah seksi, erotik dan menggoda. Visual-visual tersebut lahir daripada imaginasi yang dipantulkan menerusi penampilan dan persembahannya dalam kebanyakan imej yang dirakamkan lensa kamera.
Aksi-aksi yang diterjemahkan oleh seorang model bertaraf dunia ini selalu membikin gelora jiwa - dan untuk itu, Amber selalu menjadi juara dalam piramid khayalan banyak lelaki untuk mendampingi wanita dengan ketinggian 175 inci, berat 50 kilogram dan potongan badan 32-25-35 ini.
Lebih daripada itu, nilai Amber yang juga seorang pelakon ini bertambah apabila dia tidak segan silu untuk dipotretkan separuh bogel dalam beberapa majalah terbitan luar negara.
Selepas membikin kontroversi apabila muncul dalam
Playboy sulung edisi Indonesia pada tahun 2006, sempat juga kelihatan begitu menggiurkan dalam majalah Singapura,
FHM dan
Maxim (Indonesia) tahun lalu, terbaru Amber mengalirkan kejutan elektrik kepada Malaysia apabila bergambar separuh bogel untuk sebuah majalah Taiwan yang diterbitkan pada Mei lalu.
Tenang dan penuh berani dia menjawab tuduhan dia mencemar dan memberi profil yang buruk kepada Malaysia, sebuah negara Islam. Setiap hujahnya diselitkan dengan nilai relevan yang akhirnya Amber meminta semua pihak kembali merujuk kepada etika pekerjaannya.
"Ya, saya bergambar separuh bogel untuk majalah
Time Fashion edisi Mei bagi pasaran Taiwan. Dan saya tidak bergambar untuk tujuan pornografi.
"Segalanya tentang fesyen, jadi saya tidak takut berhadapan dengan kesan yang saya terima selepas ia dijual di pasaran," tegas bekas juara Pencarian Peragawati Antarabangsa Guess 2004 ini berani.
Wanita yang turut terlibat dengan sebuah drama bersiri di Taiwan berjudul
Ending ini kemudian memanjangkan hujahnya dengan berkata, gambar tersebut juga tidak mendedahkan payu daranya secara total. Sebaliknya dia memakai coli silikon dengan tangannya menutup payu daranya.
"Sebagai seorang model, inilah sebahagian daripada kerja saya. Apabila klien bersetuju menggunakan saya, saya harus menjalankan tanggungjawab saya. Dan walaupun saya bersetuju untuk tampil separuh bogel, saya masih mempunyai limit sendiri.
"Saya mengehadkan, biar berbogel, bahagian-bahagian sulit saya wajib ditutup dengan sesuatu seperti tangan atau sebagainya. Jika saya mendedahkan semuanya, saya percaya kerjaya saya sebagai model akan musnah kerana saya tidak menghormati diri saya sendiri.
"Dan ketika itu, barulah saya berasa malu kerana orang akan melihat Amber Chia sebagai seorang model lucah, bukannya model fesyen, yang bergambar seksi bertujuan untuk satu seni fesyen," hurainya mengenai prinsip berbogel untuk tujuan fesyen.
Namun, sebagai anak Malaysia, dia akur jika ramai yang menganggap tindakannya bergambar sedemikian rupa mencalarkan imej negara.
Dan untuk itu, kata wanita yang baru berpindah ke kediaman barunya ini, dia tidak pernah bergambar erotik juga terlebih seksi untuk pasaran Malaysia.
"Kerana saya menghormati masyarakat Islam di negara yang saya cintai ini, saya tidak pernah melanggar norma di sini. Saya hanya bergambar seksi dalam majalah fesyen untuk pasaran luar demi portfolio saya sebagai seorang model antarabangsa.
"Jadi saya amat berharap semua pihak memahami kerjaya saya," kata model yang mengakui 60 peratus masanya dihabiskan untuk bekerja di luar negara termasuk Taiwan, China, Jepun dan New York sementara 40 peratus agendanya di Malaysia.
Anak nelayan dipelihara keluarga angkatIroninya, di sebalik semua imej erotiknya, wanita yang merendah diri dan berdisiplin serta tidak ego biar sudah 10 tahun rancak membina reputasi dalam industri peragaan ini hanya seorang wanita biasa yang menjalani kehidupan sangat tradisional dan begitu mementingkan silaturahim dengan orang di sekelilingnya.
Sementelah, dia sendiri dilahirkan dalam keluarga daif. Itu kenyataan yang kata Amber tidak diketahui ramai. Kerana pada mata banyak orang, dia sudah sempurna sebagai seorang wanita muda yang berjaya juga kaya.
Saat saya tanya bagaimana dia yang lahir di Ipoh, Perak tetapi membesar di Tawau, Sabah, Amber senyum sambil menceritakan sedikit latar cerita keluarganya.
Berasal daripada keluarga yang daif dengan ibu yang tidak tahu membaca dan ayah seorang nelayan, kata Amber, kedaifan itu telah membawanya jauh ke Sabah.
"Banyak orang mengatakan saya sudah kaya dan kehidupan saya sempurna. Tapi ramai orang tidak tahu zaman kanak-kanak saya amat sukar. Saya berhijrah ke Sabah kerana dipelihara keluarga angkat.
"Kami adik-beradik sebenarnya telah diberi kepada keluarga angkat yang berasingan. Saya dipelihara keluarga angkat sejak berusia lapan tahun sebelum kembali duduk dengan keluarga semasa 12 tahun.
"Kerana kesusahan yang pernah saya lalui inilah menjadikan siapa diri saya pada hari ini. Saya mahu memberi kebahagiaan dan kesenangan kepada ibu bapa saya," cerita Amber yang membogelkan kisah hidupnya dalam biografi berbahasa Inggeris dan Cina yang dijangka berada di pasaran pada Ogos depan berjudul
The Secret of Supermodel by Amber Chia. Ia dijual pada harga RM299 senaskhah.
Tolak jadi wanita simpanan meski ditawar RM1 bilionSkandal dengan lelaki kaya tidak pernah wujud dalam kehidupannya. Tegas Amber, dia memiliki duit dan kemewahan sendiri, jadi mengapa perlu menumpang kesenangan orang lain. Malah jika ditawarkan RM1 bilion untuk menjadi wanita simpanan dan duduk goyang kaki juga jawapannya adalah tidak.
"Ada ramai lelaki yang menawarkan kemewahan kepada saya. Tapi saya tolak dan saya katakan kepada mereka saya mempunyai duit dan kemewahan sendiri untuk membahagiakan hati saya," katanya.
Dan teman lelaki? "Baru putus setahun lalu. Itulah satu-satunya kekasih saya sejak 11 tahun yang lalu," jujur Amber sambil menyambung: "Tapi hari ini saya bahagia menjadi wanita solo."