227,000 pemilik kereta diminta buat temu janji
PUTRAJAYA: Seramai 227,000 pemilik Proton model Saga generasi pertama dan Gen.2 akan menerima kemudahan pemasangan tali pinggang keledar tempat duduk belakang secara percuma mulai 1 Januari, tahun depan.
Pengarah Urusan Proton Holdings Berhad (Proton), Datuk Syed Zainad Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pemasangan akan dilakukan di 384 pusat servis Proton Edar, EON dan wakil pengedar Proton di seluruh negara.
“Pemilik kenderaan diminta membuat temu janji bagi memastikan proses pemasangan yang mengambil masa antara 30 hingga 40 minit dapat dilakukan dengan lebih lancar.
“Ia adalah tanggungjawab sosial syarikat selaras usaha kerajaan menggalak penggunaan tali pinggang keledar tempat duduk belakang bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Kementerian Pengangkutan, semalam.
Majlis disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat. Hadir sama, Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh.
Syed Zainal bagaimanapun enggan mengulas mengenai kos yang akan ditanggung pengeluar kereta nasional berikutan keputusan pemasangan tali pinggang tempat duduk belakang itu