Alat penjimat minyak: Pengguna dinasihat kaji sebelum guna
KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihat lebih peka dan bijak ketika mahu membeli alat yang didakwa mampu menjimatkan petrol bagi mengelak daripada tertipu dan rugi kerana membeli produk yang tidak berkesan.
Pengarah Pusat Pembangunan Automotif Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Ir Dr Azhar Abdul Aziz berkata ini kerana setakat ini kebanyakan alat penjimat petrol yang berada di pasaran tidak menunjukkan penjimatan yang ketara, selain memerlukan jangka masa yang panjang untuk mendapat pulangan pelaburan.
“Selaku pengguna mereka patut bertanya pada penjual berhubung bukti saintifik dan kesahihan sesuatu dakwaan sebelum membeli peralatan dan bahan kimia ini. Bukti saintifik yang saya maksudkan ialah carta gayalaku (prestasi) yang menunjukkan kelebihan pemasangan alat dengan keadaan tanpa alat itu dipasang,” katanya kepada Bernama.
Tambahan katanya penjual kadangkala menunjukkan data yang dikumpul di luar negara dan ini tidak sama keadaannya dengan kegunaan di negara tropika seperti Malaysia.
Sepatutnya mereka yang menjual alat sedemikian lebih bertanggungjawab dengan melakukan beberapa siri ujian prestasi alat mereka dalam suasana penggunaan di Malaysia dan ujian itu pula semestinya dalam satu julat waktu yang lama, katanya. - Bernama