Saham dunia jatuh
Harga minyak mentah melepasi paras AS$141 setong
KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah melonjak melepasi paras AS$141 setong semalam menyebabkan pasaran saham utama dunia menjunam susulan kebimbangan mengenai meningkatnya tekanan inflasi berikutan kenaikan kos perniagaan dan sara hidup.
Kontrak hadapan minyak mentah bermutu tinggi 'Light, Sweet' bagi penghantaran Ogos merekod paras tertinggi baru AS$$142.26 setong, naik AS$7.71 atau 5.7 peratus dalam urus niaga tengah hari di London, semalam.
Kira-kira 18 jam sebelum itu, harganya buat pertama kali mencecah paras melebihi AS$140 setong di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan tercetusnya aktiviti jualan besar-besaran di pasaran saham negara berkenaan dan mengheret indeks penanda aras utamanya, Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 358.41 mata atau 3.03 peratus pada penutup dagangannya kepada 11,453.42 mata.
Keadaan itu mempengaruhi prestasi pasaran saham utama Asia yang menyaksikan indeks utama masing-masing turut merudum.
Mendahului kejatuhan terbesar ialah pasaran China dengan Indeks Komposit Shanghai menjunam 5.29 peratus kepada 2,748.43 mata, diikuti BSE Sensex, Mumbai (4.3 peratus); TSEC, Taiwan (3.37 peratus); Nikkei 225, Tokyo (2.01 peratus); Indeks Komposit Seoul (1.93 peratus); Hang Seng, Hong Kong (1.84 peratus); Straits Times Singapura (0.84 peratus) dan Indeks Komposit Jakarta (0.80 peratus).
Pasaran saham tempatan turut menerima tempias sentimen negatif pasaran global itu dengan penanda arasnya, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) kembali susut ke bawah paras 1,200 mata apabila ia jatuh 13.35 mata atau 1.11 peratus untuk ditutup pada 1,190.54 mata semalam, berbanding penutup kelmarin 1,203.89 mata.
Sementara itu, pasaran saham Eropah yang sebahagian besarnya ditutup kukuh kelmarin juga mengalami penurunan sebaik dibuka semalam didahului Indeks Am Stockholm (1.66 peratus), diikuti Indeks Pasaran Swiss (1.48 peratus); OSE, Oslo (1.03 peratus); CAC 40, Paris (0.93 peratus); ATX, Vienna (0.74 peratus) dan DAX, Jerman (0.71 peratus). Bagaimanapun Indeks FSTE 100, London naik 0.6 peratus.
Mengulas perkembangan terbaru itu, Pakar Kewangan Institut Perbankan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ahamed Kameel Meera, berkata kejatuhan berterusan nilai dolar AS adalah punca utama kenaikan harga minyak mentah dan komoditi utama lain termasuk bahan makanan.
"Sebahagian besar pelaburan dan aktiviti perdagangan global dibuat dalam dolar AS dan ekonomi AS yang kini mengalami kegawatan berterusan, menyebabkan nilai mata wang itu terus susut berbanding mata wang utama lain khususnya euro.
"Krisis dolar AS yang mencetus tekanan inflasi menyebabkan pelaburan dalam instrumen pelaburan seperti ekuiti, derivatif, opsyen dan bon, menjadi kurang menarik. Justeru mereka beralih untuk membeli kontrak komodoti yang dianggap lebih selamat berbanding yang lain," katanya.
Ahamed Kameel berkata, peralihan pelaburan oleh pengurus dana lindung nilai antarabangsa ke dalam komoditi menyebabkan harga minyak mentah dan bahan makanan global melambung tinggi, sekali gus mencetuskan krisis bahan api dan makanan global di sebilangan negara.
"Walaupun wujud peningkatan permintaan, krisis bahan api dan makanan semasa bukan disebabkan kekurangan bekalan tetapi disebabkan oleh kelemahan AS dalam menguruskan ekonominya hingga mengheret masyarakat antarabangsa ke kancah inflasi.
"Terbaru, susulan tekanan inflasi Bank Pusat Eropah dijangka menaikkan kadar faedahnya dalam mesyuaratnya minggu depan, sekali gus mencetuskan kejatuhan dolar AS apabila pelabur dana spekulatif global berebut membeli kontrak komoditi termasuk minyak mentah bagi melindung nilai pelaburan mereka, sedangkan mereka bukan pembeli sebenar bahan api itu," katanya.
Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd, Alsetdek Al Haj Ali pula berkata, lonjakan harga minyak mentah semalam juga disebabkan pertambahan mendadak pesanan setelah Presiden Opec, Chakib Khelil dalam satu temubual oleh stesen televisyen Perancis kelmarin, menjangka harga bahan api itu meningkat sehingga ke paras antara AS$150 hingga AS$170 setong dalam jangka terdekat ini.
"Kenyataan Presiden Opec itu dibuat berdasarkan jangkaan kelemahan berterusan dolar AS berbanding mata wang utama lain bergantung kepada polisi Bank Pusat Eropah terhadap mata wang euro serta sama ada Barat akan memberi tekanan kepada pengeluar minyak Iran berhubung krisis nuklear negara itu.
"Tekanan berterusan AS ke atas negara pengeluar minyak utama seperti Iran, Libya, Iraq dan Venezuela akan mewujudkan ketegangan politik yang berterusan, sekali gus membawa kepada gangguan bekalan minyak global," katanya.