Proton keluar kereta lengkap sistem NGV SHAH ALAM: Orang ramai tidak perlu lagi membayar kos yang tinggi untuk memasang kit sistem gas asli kenderaan (NGV) kerana Proton Holdings Berhad (Proton) akan mengeluarkan kereta yang siap dilengkapi kit itu yang bakal menemui pelanggan sebelum akhir tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kereta keluaran Proton akan datang siap dipasang enjin NGV selain turut berupaya menggunakan petrol bagi memenuhi keperluan pengguna yang mahu menjimatkan wang akibat peningkatan harga petrol, baru-baru ini.
Justeru, katanya, Proton kini dalam usaha mengubahsuai model yang ada, termasuk Saga, Waja dan Persona supaya reka bentuknya dapat memuatkan kelengkapan NGV bagi memastikan keselesaan pengguna dan kesesuaian kenderaan itu.
“Sekarang memang tiada kereta di pasaran yang sudah dilengkapi enjin NGV dan pengguna perlu memasangnya sendiri.
“Tapi kini semua pemasangan kelengkapan NGV itu akan dilakukan di kilang Proton yang menjadikan kosnya lebih murah berbanding kos sekiranya pengguna memasang kelengkapan itu sendiri,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara GiatMara dan Proton disini, semalam.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, Pengerusi Proton, Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Meriyam Abd Majid.
Syed Zainal Abidin berkata, pengguna juga tidak perlu risau apabila menggunakan kereta yang dilengkapi NGV berikutan pemasangan di kilangnya nanti akan mengikut piawaian keselamatan yang dapat memberikan lebih keyakinan kepada pengguna.
Menurutnya, model Saga dan Waja yang dilengkapi kit itu mungkin boleh digunakan sebagai teksi manakala Persona untuk pasaran umum.
Sementara itu, Noh berkata Kabinet meminta kementeriannya berbincang dengan Proton untuk mereka bentuk teksi khas bagi menggantikan 38,000 teksi di seluruh negara secara berperingkat-peringkat menjelang 2010.