BARU-baru ini, Cik Normah ada menonton sebuah rancangan bual bicara di
TV3 yang dipanggil Wanita Hari Ini. Ketika itu panel jemputan yang
diundang ialah penerbit Pesona Nona dan finalis yang terbabit berentap
dalam pertandingan itu. Yang Cik Normah nak sebut di sini ialah
mengenai salah seorang pengacaranya yang Cik Normah yakin kalau disebut
namanya pasti ramai yang kenal.
Cik Normah tak nak main teka-teki kali ini. Pengacara yang
dimaksudkan itu ialah penyanyi dan pelakon Ifa Raziah. Dalam rancak
bersoal jawab, Ifa tiba-tiba tersasul tersalah menyebut perkataan
bahasa Inggeris yang paling asas. Perkataan sebenar ialah top five,
tapi Ifa pula menyebutnya five top. Alah, salah letak saja perkataan
itu, bukan dosa besar pun.
Apa lagi Cik Normah pun ketawa terbahak-bahak melihat reaksi Ifa
apabila ditertawakan yang lain termasuklah rakan pengacara bersamanya
yang turut tersenyum sipu. Yang paling Cik Normah tak tahan ialah
kamera pun boleh selamba memberi fokus kepada rakan pengacara Ifa
Raziah itu.
Cik Normah bukan berniat untuk memalukan Ifa. Iyalah sebagai manusia
biasa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Namun,
seiring dengan pengalamannya, Ifa sewajarnya tidak lagi tersalah sebut,
tambahan pula jika program itu disiarkan secara langsung. Mungkin juga
Ifa gementar kot sampai salah cakap.
Apabila Cik Normah bercakap mengenai perkara ini, rakan
sepejabat Cik Normah dengan selamba mengusik bukan sekali dua Ifa
Raziah tersasul. Maknanya selalu juga pelakon siapa Q itu tersasul. Cik
Normah harap Ifa tak ambil hati isu ini, cuma selepas ini harapnya dia
akan lebih peka dan memastikan tutur bicara yang ingin dilontarkan itu
disampaikan dengan tepat dan bernas.
Sumber : Berita Harian