United menang selesa, Villa nyaris tercicir
WIRA Manchester United, Danny Welbeck meraikan jaringannya ketika menentang Southampton pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium St Mary, malam tadi.
SOUTHAMPTON: Gol dari Danny Welbeck dan penalti Nani serta Darren Gibson memastikan Manchester United melangkah ke pusingan keempat Piala FA untuk bertemu satu lagi pasukan Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspurs, selepas menundukkan Southampton 3-0, malam tadi.
Kepercayaan yang diletakkan Alex Ferguson segera dibalas Welbeck, yang membuka tirai jaringan pada minit ke-19 sebelum Nani menyempurnakan sepakan penalti tiga minit selepas babak kedua bermula.
Gol Welbeck dihasilkan apabila dia mudah menanduk masuk bola yang muntah di hadapannya selepas tandukan John O'Shea yang menyambung tendangan sudut Ryan Giggs ditepis penjaga gol, Kelvin Davis.
United dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-48 selepas penyerang Southampton, David McGoldrick, menggunakan tangan ketika cuba menghadang bola hasil tendangan percuma Nani dari luar kotak penalti.
Tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain untuk hampir sejam selepas Matthew Patterson dilayangkan kad merah selepas mengasari Nani. Segalanya berakhir buat tuan rumah apabila Gibson menyumbang gol ketiga United pada minit ke-81.
Sementara itu, dua jaringan James Milner pada hari lahirnya yang ke-23, membolehkan Aston Villa menumpaskan Gillingham 2-1 dan melangkah ke pusingan keempat.
Milner yang bertindak selaku pemain tengah yang menyerang, membuka tirai jaringan pada minit ke-13 dan memastikan kemenangan 11 minit sebelum tamat menerusi sepakan penalti manakala Simone Jackson menjaringkan gol tunggal tuan rumah pada minit ke-56.
Villa di depan pada minit ke-13 apabila mereka merampas kawalan bola daripada pemain Gillingham yang kelihatan terlalu yakin.
Tuan rumah menghidupkan peluang apabila Jackson menyamakan kedudukan selepas dia berpusing dan melepaskan rembatan kencang ke gawang Villa.
Kerancakan serangan tuan rumah mencari kemenangan kemudian tersentap apabila Ashley Young dihadiahkan sepakan penalti dan Milner tidak mempersiakan peluang itu dengan merembat bola rendah melepasi jangkauan tangan kanan penjaga gol, Simon Royce pada minit ke-79.