Oleh Norhashimah Mohd Radzali
[url=mailto://][/url]
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Nur Fazura Sharifuddin atau lebih dikenali sebagai Fazura diarah membela diri atas tuduhan mencederakan seorang suri rumah menggunakan tumit kasut tinggi di sebuah kelab di sini, tiga tahun lalu.
Majistret Aizatul Akmal Maharani, selepas meneliti keterangan semua saksi pihak pendakwaan dan bahan bukti yang dikemukakan di mahkamah, berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Fazura.
"Oleh itu mahkamah memerintahkan Fazura dipanggil untuk membela diri terhadap tuduhan berkenaan," katanya ketika membaca keputusannya pada akhir kes pendakwaan, semalam.
Beliau berkata, Fazura dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dalam kes itu, pihak pendakwaan perlu membuktikan dua perkara utama berhubung tuduhan berkenaan.
"Pertama, pihak pendakwaan perlu membuktikan Fazura yang menyebabkan kecederaan terhadap mangsa. Kedua, Fazura juga mempunyai niat untuk mencederakan mangsa dan mengetahui perbuatannya itu akan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.
"Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan sudah membuktikan kes prima facie terhadapnya," katanya.
Peguam Muhammad Nassim Shafie yang mewakili Fazura, berkata anak guamnya memilih untuk membela diri dengan memberikan keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi.
Katanya, pihak pembelaan akan memanggil beberapa saksi untuk memberikan keterangan, tetapi bilangannya belum ditentukan lagi.
Aizatul kemudian menetapkan 12 dan 13 Februari tahun depan untuk Fazura memberikan keterangan membela dirinya.
Riak wajah Fazura yang kelihatan ceria sebelum prosiding bermula, berubah serius sejurus selepas mendengar keputusan mahkamah.
Fazura, 24, yang popular menerusi filem Gol & Gincu, dituduh mencederakan Geraldine Mariana Wong di Bar Luna, Pacific Regency Hotel and Apartments, Jalan Kia Peng, di sini, jam 1.20 pagi, 19 Disember 2004.
Beliau yang juga Pemenang Anugerah Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia ke-17 didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 jika sabit kesalahan.