Thaksin orang ke-16 terkaya - Harta Thaksin dilapor bertambah AS$100 juta tahun ini
|
Thaksin Shinawatra
|
BANGKOK 10 Julai – Bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra disenaraikan sebagai individu ke-16 terkaya di Thailand, walaupun tanpa harta bernilai AS$2 bilion (RM6.4 bilion) yang dibekukan berikutan kes tuduhan korupsi.
Thaksin pada masa ini dilaporkan memiliki harta berjumlah AS$400 juta (RM1.28 bilion).
Harta jutawan yang dalam buangan akibat rampasan kuasa kerajaan pada 2006 itu turut dilaporkan oleh Majalah Forbes, telah bertambah sebanyak AS$100 juta (RM320 juta) berbanding tahun lalu dan juga dijangka memiliki sebanyak AS$400 juta (RM1.28 bilion) pada masa depan.
Malahan nilai sebenar kekayaan Thaksin dikatakan lebih tinggi lagi berikutan AS$2 bilion (RM6.4 bilion) yang dibekukan oleh pihak berkuasa Thai iaitu hasil penjualan syarikat telekom milik Thaksin, Shin Corp kepada Temasek Holdings, Singapura pada tahun 2006.
Anak-anaknya yang mempunyai pegangan yang banyak dalam saham Shin Corp kini berusaha untuk membatalkan perintah supaya mereka membayar cukai sebanyak AS$789 juta (RM2.52 bilion) akibat perjanjian jual beli tersebut.
Kelmarin beliau dan isterinya, Pojaman dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.
Isterinya dan Thaksin dituduh menggunakan kedudukan Thaksin sebagai Perdana Menteri untuk mendapatkan harta-harta utama di Bangkok.
Pasangan ini, bagaimanapun menafikan semua tuduhan tersebut.
Thaksin merupakan tycoon yang membuat kekayaan daripada syarikat telekom Shin Corp, sebelum melibatkan diri dalam politik. Syarikat tersebut mengungguli penjualan telefon bimbit, perkhidmatan satelit, internet dan mempunyai saham dalam syarikat penerbangan.
Penjualan Shin Corp telah mencetus kemarahan orang ramai yang melakukan demonstrasi membantah terhadap Thaksin, sehingga membawa kejatuhannya melalui rampasan kuasa.
Beliau kemudiannya berlepas ke Britain dan membeli kelab Bola Sepak Inggeris terkenal, Manchester City dengan nilai AS$160 juta (RM512 juta).
Thaksin kembali semula ke Bangkok pada Februari lalu, selepas menyaksikan kerajaan pro Thaksin terbentuk dengan diketuai Perdana Menteri Samak Sundaravej.
Senarai orang terkaya di Thailand itu didahului oleh pengusaha minuman tenaga terkenal Red Bull, Chaleo Yoovidhya, 76, dengan nilai harta sebanyak AS$4 billion (RM12.8 bilion)
Tempat kedua, pengusaha minuman bir Charoen Sirivadhanabhakdi dengan nilai harta kurang AS$100 juta daripada yang dimiliki oleh Chaleo.
– AFP