Varian terbaru itu memberikan penjimatan antara RM5,000 hingga RM8,000 berbanding varian sedia ada di pasaran.
Proton juga menurunkan sehingga 30 peratus kos alat ganti bagi semua varian Savvy, sejajar usaha menjadikan kereta kompak itu lebih mampu dimiliki serta mengurangkan kos penyelenggaraan dan pemilikan kereta itu bagi jangka panjang.
Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata pengenalan varian baru serta penurunan kos alat ganti bertujuan menjadikan Savvy lebih menarik dan mampu dimiliki ramai, terutama pembeli baru yang mana keputusan pembelian selalunya dikekang bajet ketat.
“Pendekatan ini juga membuktikan komitmen Proton untuk menawarkan kenderaan pada pelbagai peringkat harga bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pembeli.
“Persekitaran jualan kereta ketika ini menjadi sangat berdaya saing hinggakan falsafah untuk menghasilkan sebuah kereta untuk semua orang tidak lagi relevan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.
Tempahan untuk varian ini boleh dibuat di semua wakil jualan Proton di seluruh negara mulai semalam, sementara penjimatan sehingga 30 peratus bagi alat ganti Savvy tersedia di semua cawangan wakil servis Proton di seluruh negara.
Sejak dilancarkan pada Mei 2005, Savvy ditawarkan dalam versi manual dan AMT. Awal tahun ini, model ini melalui proses perubahan penampilan.
Savvy yang dijana enjin empat selinder 16 injap, adalah antara kereta kompak terpantas dengan menghasilkan 74 bhp (kuasa kuda), 105Nm tork dan kelajuan maksimum 170 km sejam.
Model ini menjimatkan minyak apabila hanya menggunakan 5.3 liter bagi setiap 100 km pada kelajuan malar 90 km sejam dan memenuhi piawai Euro III.