First topic message reminder :
Suami terlalu gembira, Erra Fazira hamil tiga bulan
Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Rutin harian suami artis popular Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Suria FM, kini berbeza daripada hari-hari sebelum ini.
Kini, setiap pagi sebelum melangkah keluar rumah untuk ke pejabat, dia akan memastikan mengucup kandungan isterinya yang hamil tiga bulan.
"Saya terlalu gembira dengan berita kehamilan Erra. Kandungan yang berusia hampir tiga bulan ini seperti melengkapkan hasrat kami berdua. Kerana itu, seboleh-bolehnya saya tidak mahu berjauhan daripada isteri saya," kata Engku Emran dalam nada ceria kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Engku Emran dan Erra berkahwin pada 25 Oktober tahun lalu.
Kerana terlalu gembira juga, Engku Emran sering mengingatkan isterinya agar berhati-hati dalam melakukan kerja seharian.
"Saya perlu menghubungi dia dari semasa ke semasa untuk mengingatkan dia agar jangan lupa makan dan mengambil makanan tambahan untuk memberikan tenaga padanya," kata Engku Emran.
Apa yang membuatkan Engku Emran risau ialah ketika ini isterinya terikat dengan penggambaran sebuah drama di sekitar ibu negara.
"Saya sentiasa berdoa kepada Allah agar kandungan sulung isteri saya terpelihara dengan baik kerana kami berdua sudah lama teringin untuk menimang cahaya mata sulung," kata Engku Emran lagi.
Dua bulan lalu, Erra dilaporkan mengalami keguguran ketika kandungannya berusia dua minggu.
Engku Emran turut memberitahu, perubahan yang berlaku pada Erra kini ialah selera makannya bertambah naik.
"Kini, pantang ada masa lapang, saya akan pastikan berada di sisi Erra kerana saya mahu memberikan sokongan moral padanya," kata Engku Emran lagi.
Menurut Engku Emran juga, pada awalnya dia mahu mengumumkan berita gembira ini kepada wartawan minggu depan.
"Tetapi, nampaknya wartawan dapat menghidu berita ini lebih awal," ujarnya lagi.
Erra bagaimanapun tidak dapat dihubungi kerana difahamkan dia masih lagi menjalani penggambaran sebuah drama di sebuah lokasi di ibu negara.