Perkara : CUTI SAKIT
Kepada : Semua Pekerja
Daripada : Pihak Pengurusan
Salinan : Semua Pembaca Memo Ini
Merujuk kepada perkara di atas, berikut adalah garis panduan terbaru berkenaan
pengambilan cuti sakit.
Setiap pekerja diperuntukkan 10 hari cuti sakit untuk setahun. Namun
begitu anda tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil cuti sakit jika
tak sakit. Itu cari penyakit namanya. Sakit melebihi had akan ditolak
dari cuti tahunan walaupun anda betul-betul sakit. Cuti sakit tidak
boleh dipindah milik atau dibawa ke tahun seterusnya.
MC (Medical Certificate) atau Sijil Sakit perlu dilampirkan dengan
borang cuti. MC tulisan tangan tidak diterima. Jika berubat kampung,
sila minta tok bomoh atau pawang berkenaan mengeluarkan sijil sakit
yang ditaip atau dapatkan rawatan dari bomoh panel yang dilantik oleh
kompeni.
Sakit hati, sakit jiwa serta jiwang, sakit kepala berdenyut-denyut dan
sakit sengal-sengal otot tidak dibenarkan cuti sakit. Borang cuti yang
dikepilkan pembalut panadol atau kotak ubat cap kaki tiga tidak akan
dilayan.
Anda dikehendaki menalipon pejabat memaklumkan cuti sakit anda dan anda
tidak perlu bercakap dengan nada kasihan diikuti kesan khas suara
serak-serak kering bersulam dengan batuk berkokol-kokol untuk
membuktikan yang anda sakit. SMS juga dibolehkan jika anda tak mampu
bersuara tetapi tidak digalakkan.
Sekian, harap maklum.
“BERAKIT-RAKIT KE HULU,
BERENANG-RENANG KE TEPIAN,
BERCUTI SAKIT DAHULU,
HANTAR BORANG CUTI BERSAMA MC KEMUDIAN”
Yang Benar
Pihak Pengurusan