Oleh Ahmad Khawari Isa dan Mohd Fadzrie Hazis
bhsukan@bharian.com.my
Hadiah Deepavali tak jadi kenyataan, Malaysia gagal pertahan gelaran
UJIAN getir sulung dijelmakan Vietnam menenggelamkan skuad
negara yang dipaksa akur kecundang menerusi penentuan sepakan penalti
untuk meleraikan rangkulan gelaran Pestabola Merdeka di Stadium
Nasional, malam tadi.
Selepas mudah melepasi halangan satu persatu - daripada
peringkat kumpulan hingga ke separuh akhir - kesebelasan negara
langsung tidak menjumpai kunci buat meruntuhkan tembok lawan sepanjang
120 minit yang berakhir tanpa jaringan sebelum ditumpaskan 5-6 menerusi
penentuan penalti sudden death itu.
Di awal saingan, gawang Vietnam sudahpun bergegar selepas hanya enam
minit apabila Indraputra Mahayuddin meluru untuk merembat deras ke
sasaran umpanan lolos Shukor Adan. Sayangnya, Indra dipersalahkan
kerana ofsaid untuk Vietnam bernafas lega.
Selepas itu, majoriti aksi 45 minit awal menyaksikan skuad
negara mendominasi asakan, tetapi sentuhan penyudah dicari tidak
menjelma, ketika Safee Sali, Indra dan rakan lainnya dipaksa menggigit
jari.
Antara peluang menarik negara termasuklah tandukan Shukor
pada minit ke-27 yang sempat didakap penjaga gol Vietnam, Bui Tan
Truong serta cubaan sama Safee daripada umpanan Indra seminit
kemudiannya, sipi daripada sasaran.
Safee kemudiannya beroleh dua lagi peluang menarik, pada minit
ke-33 dan ke-44, tetapi kedua-duanya dihampakan barisan benteng lawan
yang berhempas pulas untuk memastikan kedudukan kekal terikat tanpa
jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan suasana saingan lebih agresif, ketika
Vietnam memilih untuk kental menyerap segala asakan dan lebih
bergantung kepada kepantasan Phan Thanh Binh untuk mengancam menerusi
gerak serang balas pantas yang sesekali menggamamkan benteng negara.
Namun gol dinanti tetap tidak menjelma untuk pencarian
diteruskan ke masa tambahan yang juga berakhir tanpa pemecah kebuntuan
ketika Vietnam lebih mencipta gelisah skuad negara dengan beberapa
gerak yang menjelmakan rasa bimbang.
Penentuan sepakan penalti bermula dengan semua lima pemain
negara - Indra, Safee, Aidil Zafuan Radzak, Ashaari Samsuddin dan
Daudsu Jamaluddin menyempurnakan sepakan ketika lima pemain Vietnam
juga tidak menghampakan.
Namun rembatan deras Norhafiz Zamani Misbah pada permulaan penalti
sudden death ditampan Tan Truong untuk pemain gantian, Mai Tien Thanh
mudah memperdaya Helmi Eliza Elias buat mencipta gegak gempita sorakan
lebih 5,000 penyokong Vietnam.