Telur cacing masuk ke tubuh menerusi tangan, makanan kotor(Oleh Hafizah Iszahanid)
PROTOZOAdan cacing adalah dua punca utama penyakit manusia di kebanyakan negara
tropika. Ia bukan saja menjejaskan kesihatan berbilion orang malah
membunuh jutaan yang lain setiap tahun.
Jangkitan cacing misalnya, boleh berlaku pada semua kumpulan
usia masyarakat. Bagaimanapun, ia lebih kerap terjadi pada kanak-kanak.
Pada 2006, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan jangkitan
cacing di seluruh dunia melebihi 1.5 bilion.
Pakar Pediatrik, Pusat Perubatan Kampung Baru (KBMC) Dr Noor Aziah
Shaari, berkata masalah cacing yang tidak dirawat menyebabkan pelbagai
komplikasi, antaranya masalah kekurangan darah kerana cacing boleh
menghisap darah dalam usus.
"Cacing kerawit misalnya, paling kerap menyebabkan kekurangan darah
kerana ia boleh menghisap darah di dalam usus.
"Masalah kurang darah yang kronik boleh mengganggu tumbesaran
dan pembelajaran malah pada tahap lebih serius boleh menyebabkan
kegagalan jantung," katanya.
Masalah jangkitan cacing bagaimanapun, tidak terhad pada sejenis
cacing saja. Jangkitan cacing lain yang kerap berlaku adalah cacing
gelang dan cemeti.
Menurut WHO, jangkitan cacing gelang (ascaris lumbricoides)
adalah jangkitan yang paling kerap berlaku iaitu membabitkan 1.22
bilion jangkitan, cacing cemeti (triciuris trichiura) pula 795 juta
jangkitan manakala cacing kerawit (amcylostoma duodenale, necator
americanus dan ancylostoma ceylanicum) 740 juta jangkitan.
Daripada jumlah itu, 400 juta kes membabitkan kanak-kanak
yang kerap mengalami masalah tumbesaran, aktiviti fizikal yang kurang
cerdas, kekurangan daya pemikiran dan mengalami masalah pembelajaran
(Stephenson et al 1998).
"Kalau dilihat kajian tempatan yang dilakukan pada
masyarakat luar bandar pula, ada antara 40 hingga 60 peratus
kanak-kanak dijangkiti cacing.
"Jangkitan cacing gelang adalah jangkitan yang paling kerap berlaku (50
peratus), diikuti cacing cemeti (40 peratus) dan 10 peratus lagi
jangkitan disebabkan cacing kerawit," katanya.
Dr Noor Aziah berkata, masalah cacing berlaku pada semua peringkat usia tidak kira muda atau tua.
Bagaimanapun, katanya usia yang paling kerap dijangkiti cacing
adalah antara enam hingga tujuh tahun dan usia yang paling kurang
dijangkiti adalah di bawah setahun.
Katanya, jika ada tanda jangkitan, ubat cacing boleh diberi
kepada semua peringkat usia. Namun, pemberian ubat untuk pencegahan
seperti yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2006
ialah selepas usia setahun kerana kanak-kanak pada usia ini lebih kerap
dijangkiti.
"Ubat cacing boleh diberi setiap enam bulan untuk pencegahan,
tetapi dalam kes lebih serius, ia perlu diberi setiap tiga bulan.
Bagaimanapun, pemberian ubat cacing kepada kanak-kanak di bawah usia
dua tahun perlu dirujuk kepada doktor terlebih dulu," katanya.
Cacing dan jangkitanDr Noor Aziah berkata, cacing adalah sejenis jangkitan yang
berlaku daripada pencemaran tanah. Tanah yang tercemar dengan telur
cacing akan mencemarkan tanaman dan tangan manusia. Tangan dan makanan
yang tidak dibersihkan dengan baik juga akan menyebabkan telur cacing
dimakan dan larva akan menetas di dalam usus.
"Larva yang sudah menetas akan berhijrah ke paru-paru
sehingga matang sebelum berhijrah semula ke dalam usus manusia. Cacing
yang matang akan bertelur, membiak dan telur cacing juga boleh
menjangkiti orang lain jika tangan tidak dibersihkan dengan baik
sebelum penyediaan makanan," katanya.
Dr Noor Aziah berkata, larva cacing kerawit juga boleh
menembusi kulit dan masuk ke dalam saluran darah dan seterusnya masuk
ke dalam usus dan meneruskan kitar hidup yang sama.
"Mungkin ada ibu bapa yang beranggapan cacing adalah masalah
kecil tetapi tanpa pencegahan dan amalan kebersihan, cacing boleh
membawa maut jika terjadinya masalah usus tersumbat dan tidak dirawat
dengan segera.
Selain itu, masalah cacing boleh menyebabkan anemia yang serius dan
kegagalan jantung yang teruk jika tidak dirawat.
Berbanding cacing yang dipindahkan melalui tanah seperti
ascariasis dan trichuriasis, yang selalu terjadi pada kanak-kanak
sekolah, jangkitan cacing kerawit juga kerap terjadi pada orang dewasa.
Komplikasi:
- A) Cacing gelang
Usus tersumbat menyebabkan muntah-muntah, perut kembung dan
tidak buang air besar. Keadaan ini kadangkala menyebabkan kanak-kanak
itu muntah cacing dengan banyak. Komplikasi ini perlu dirawat dengan
pembedahan untuk mengeluarkan cacing yang terlampau banyak yang
menyekat perjalanan usus. Cacing gelang juga menyebabkan kekurangan
vitamin A � kerana gangguan penyerapan zat makanan di dalam usus kecil.
Penghijrahan cacing:
Larva cacing boleh pergi ke paru-paru dan menyebabkan simptom
batuk serta lelah. Cacing yang berhijrah ke saluran hempedu dan
pankreas boleh menyebabkan demam, jaundis (sakit kuning) dan sakit
perut. Simptomnya boleh menyerupai gejala batu di dalam hempedu. Cacing
boleh dikeluarkan dengan menggunakan kaedah endoskopi atau pembedahan.
- B) Cacing cemeti
Masalah intussusception (usus tersumbat) menyebabkan muntah
berwarna kuning, perut kembung dan berak berdarah dengan banyak. Cacing
yang sangat banyak pada usus besar dan rektum (pangkal usus) boleh
menyebabkan 'prolaps rectum' atau usus terkeluar dan cacing dapat
dilihat pada permukaan usus itu.
- C) Cacing kerawit
Cacing kerawit paling kerap menyebabkan kekurangan darah atau
anemia kerana cacing ini boleh menghisap darah di dalam usus. Anemia
boleh menjadi teruk dan mengganggu tumbesaran, pembelajaran seseorang
kanak-kanak dan pada tahap lebih serius boleh menyebabkan kegagalan
jantung.
Simptom:
- Kurang selera makan
- Tumbesaran terganggu
- Kerap muntah
- Sakit perut
- Kerap cirit-birit
- Pucat
- Gatal pada dubur