Cuma perlu pastikan masalah kelumpuhan bukan disebabkan angin ahmar
(Oleh Hafizah Iszahanid)
BUKAN semua masalah kelumpuhan saraf muka (facial nerve
paralysis) disebabkan serangan angin ahmar. Ada kalanya, ia disebabkan
jangkitan penyakit (seperti masalah bell palsi) atau komplikasi
pembedahan.
Ketua Jabatan Oral dan Pembedahan Maksilofasial, Universiti
Malaya (UM), Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, berkata serangan angin
ahmar adalah satu daripada punca kelumpuhan itu.
Dr Zainal Ariff berkata, kelumpuhan saraf muka bermaksud lumpuhnya
struktur saraf pada muka kerana di bawah kulit, laluan saraf muka
adalah panjang dan berbelit-belit. Justeru, ia sensitif dan banyak
faktor yang boleh menyebabkan kelumpuhan saraf muka terjadi.
“Saraf pada muka membolehkan seseorang itu tersenyum, masam
dan melahirkan ekspresi wajah. Namun, gangguan pada saraf muka
menyebabkan saraf muka lumpuh. Perkara paling serius apabila berlakunya
kelumpuhan saraf muka adalah penjagaan mata kerana ia tidak boleh
ditutup sekali gus memudahkan kornea tercedera,” katanya.
Bagaimanapun, katanya kelumpuhan saraf muka adalah masalah
sementara kerana ia boleh dirawat. Namun, masalah itu masih boleh
berulang. Kelumpuhan saraf muka bagaimanapun bukan satu penyakit
sebaliknya gangguan yang disebabkan oleh banyak penyakit.
Antaranya gangguan pada saraf muka, serangan angin ahmar,
kecederaan, bell palsi (masalah gangguan saraf yang disebabkan virus),
ketumbuhan di otak, pembedahan membuang kelenjar air liur atau
pembedahan laluan saraf yang terkena pada saraf.
“Kelumpuhan saraf muka lebih kerap terjadi pada lelaki dewasa
manakala faktor yang paling biasa adalah bell palsi. Selalunya, bell
palsi dikaitkan dengan jangkitan virus seperti herpes atau influenza,”
katanya.
Virus itu bagaimanapun virus yang biasa dan tindak balas
individu yang mempengaruhi jangkitan. Misalnya pada sesetengah orang,
sistem imun tubuhnya bertindak balas dengan jangkitan vitus yang
menyebabkan keradangan pada saraf. Apabila ia bengkak, saraf sukar
melepasi laluan yang kecil mencetuskan simptom bell palsi.
Selain bell palsi, faktor lain yang boleh menyebabkan
kelumpuhan saraf muka adalah komplikasi ketika pembedahan pada muka
kerana doktor tersalah potong saraf muka yang panjang dan berselirat.
Gejala kelumpuhan saraf muka
Mata yang tidak boleh ditutup
Muka yang herot
Mata kering
Lidah hadapan tiada sensasi (pada bahagian muka yang terjejas)
Rawatan
Rawatan biasanya adalah pemberian dos steroid yang tinggi dan
menutup mata pesakit bagi melindungi kornea atau meletak pesakit di
tempat yang gelap.
Peluang untuk pulih semula tinggi kalau pesakit dirawat dengan segera.
Namun, perlu dipastikan apakah ia masalah kelumpuhan saraf muka
yang tidak disebabkan oleh angin ahmar.
Mata yang tidak boleh tertutup ditangani dengan pembedahan
kecil meletakkan emas dalam kelopak mata atas untuk memberatkannya dan
membolehkan mata ditutup dan dibuka seperti biasa.