Fergie puji anak didikBERBATOV meraikan jaringannya yang berjaya melonjak United ke tangga
teratas EPL buat pertama kali musim ini selepas membenam Bolton 1-0 di
Stadium Reebok, kelmarin.
BOLTON: Sir Alex Ferguson tampil mengakui betapa dia gembira dengan
sifat kental barisan di Manchester United selepas berjaya melonjak ke
tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) buat pertama kali musim ini
selepas membenam Bolton 1-0, kelmarin.
Juara Inggeris dan Eropah musim lalu itu, melakukan permulaan
perlahan dalam kempen ini tetapi sejak mereka kembali daripada
memenangi Piala Kelab Dunia di Jepun, skuad Ferguson sudah memenangi
lima perlawanan liga secara berturut-turut.
Rentetan kemenangan itu memadamkan kelebihan tujuh mata yang dimiliki Liverpool ke atas mereka hanya sebulan lalu.
Namun, pengurus Liverpool, Rafael Benitez yang seolah-olah
sudah cemburu dengan perkembangan terbaru itu berkata: "Tiada siapa
menang gelaran pada Januari. Semua orang tahu hakikat itu. Kami perlu
bertenang dan menganalisis keadaan. Jika mahu menang gelaran, ia adalah
pada Mei nanti."
Apapun, kemenangan United di Stadium Reebok bukan hanya
meletakkan mereka di atas pasukan The Reds - menjelang pertemuan
pasukan itu di tempat sendiri menentang Everton, hari ini - tetapi
turut menyamakan rekod Chelsea iaitu 10 perlawanan tanpa dibolosi dalam
EPL.
Selepas membina reputasi dengan corak bola sepak menyerang musim
lalu, ia adalah kemenangan ketujuh United dengan keputusan 1-0 dalam
liga, musim ini dan Ferguson percaya ialah adalah petunjuk penting
kepada mentaliti pasukannya.
"Ia bermakna tumpuan amat bagus. Anda perlu mengekalkan fokus
anda dalam perlawanan dan saya rasa kami melakukannya dengan baik,"
kata Ferguson. "Saya berpendapat kami bermain bagus. Bolton pasukan
sukar ditentang dan dalam perlawanan derby tempatan anda akan sentiasa
gembira untuk menang perlawanan tetapi kami membiarkannya hingga lewat
perlawanan.
"Saya tidak rasa ia sudah menjadi satu penentuan tetapi
seronok dan tempat yang baik untuk diduduki (carta liga), tidak
keraguan mengenainya.
"Liverpool mempunyai perlawanan menentang Everton Isnin ini
(awal pagi Selasa waktu Malaysia) dan walaupun ia hanya untuk dua hari,
kami boleh merenung semula tempoh yang cukup cemerlang buat kami.
"Kunjungan ke Jepun Disember lalu dan segala perlawanan sukar kami harungi baru-baru ini, pemain melakukannya dengan baik."
Walaupun United kini berdepan saingan separuh akhir Piala Liga
menentang Derby County dan Piala FA bertemu Tottenham minggu ini,
Ferguson menegaskan dia tiada masalah untuk mengambil rehat daripada
kancah liga.
"Saingan separuh akhir bukan situasi buruk bagi kelab ini dan
saya akan menurunkan ramai pemain muda Selasa ini. Kemudian kami
berdepan Piala FA, Sabtu ini berdepan Tottenham.
CAYALAH MU....