Salman tampar aktres Katrina Kaif
MUMBAI: Aktor sasa, Salman Khan, nyata tidak pernah meninggalkan sikap panas baran dan baru-baru ini giliran kekasihnya, Katrina Kaif, berdepan tindakan ganas pelakon itu apabila ditampar kuat pada mukanya.
Menurut laporan, Salman menampar Katrina ketika aktres itu menjalani penggambaran filem dengan pelakon Akshay Kumar.
Salman, yang dilaporkan melawat Katrina pada salah satu set penggambaran, hilang sabar apabila mendapati aktres berdarah campuran Inggeris itu tidak mengendahkan arahannya tidak bekerja dengan Akshay.
Sumber juga berkata, Salman pernah menampar Katrina sebelum ini ketika mereka menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran walaupun bintang Singh Is King itu menafikan perkara itu terjadi.
Salman, yang memang dikenali dalam industri perfileman Bollywood kerana tabiat buruknya, sebelum ini pernah dituduh mengasari teman wanitanya. Dia berdepan tuduhan menyerang aktres Aishwarya Rai ketika menjalin hubungan dan meninggalkan kesan lebam pada mata bekas ratu dunia itu.
“Salman bersikap pelik sejak akhir-akhir ini. Dia baru-baru ini singgah di set penggambaran filem Rajneeti semata-mata mengawasi Katrina kerana khabar angin mengenai keintiman pelakon itu dengan pasangannya, Ranbir Kapoor,” kata sumber.
Sebelum kejadian itu lagi, hubungan mereka sudah menunjukkan tanda-tanda retak sehingga ke tahap sudah tidak berhubungan ketika Salman berada di Jodhpur untuk menjalani penggambaran filem Veer.
“Masalahnya cuma satu. Salman langsung tidak berubah. Seperti hubungannya terdahulu dengan Somy Ali, Sangeeta Bijlani dan Aishwarya, baginya, cinta bermakna pemilikan.
“Kali ini tidak terkecuali. Salman mahu menguasai sepenuhnya hubungan dengan Katrina,” kata sumber. - Agensi