Beckham bintang bola sepak terkaya di dunia
LONDON - David Beckham sekali (gambar) lagi disenaraikan sebagai pemain bola sepak terkaya di dunia.
Selepas mengesahkan sebagai pemain England paling banyak membuat penampilan di pentas antarabangsa Sabtu lalu, kelmarin Beckham berjaya mengatasi bintang Barcelona, Lionel Messi untuk muncul pemain yang menerima pendapatan termahal di dunia.
Berdasarkan tinjauan sebuah majalah bola sepak Perancis, gaji dan pendapatan sampingan Beckham pada 2008 dianggarkan berjumlah 30.1 juta pound (RM157.9 juta); 3.5 juta pound (RM18.4 juta) lebih banyak daripada bintang Argentina, Lionel Messi.
Namun, kehebatan Liga Perdana England sekali lagi diakui dunia apabila empat bintang mereka turut tersenarai di antara 10 pemain yang berpendapatan tinggi.
Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo yang juga Pemain terbaik Dunia 2008 berada di kedudukan keempat dengan pendapatan 17 juta pound (RM89.2 juta) setahun.
Rakan sepasukannya, Wayne Rooney di tangga kelapan dengan pendapatan melebihi 12.5 juta pound (RM67 juta) setahun.
Dua bintang Chelsea, Frank Lampard dan John Terry melengkapkan senarai tersebut di tangga kesembilan dan kesepuluh.
Bagi senarai pengurus dan jurulatih pula, dua bekas pengurus Chelsea berada dalam kelompok dua tangga teratas.
Luiz Felipe Scolari yang dipecat Chelsea bulan lepas, menduduki tempat teratas dengan 11.53 juta pound (RM60.5 juta) manakala jurulatih Inter Milan, Jose Mourinho pula menerima pendapatan kedua terbanyak dengan 10.13 juta pound (RM53.2 juta). - Agensi