Status bintang bukan jaminan
|
CAPELLO gembira dengan kejayaan England menewaskan Switzerland 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin.
|
LONDON - Reputasi David Beckham dan Michael Owen sebagai pemain berstatus bintang bukan jaminan bagi mereka untuk mendapat tempat dalam skuad England di bawah kendalian jurulatih baru, Fabio Capello.
Selepas menyingkirkan Beckham, jurulatih dari Itali itu meneruskan keazaman untuk membimbing England mengikut caranya sendiri dan terbaru, dia mengetepikan Owen daripada senarainya.
Owen telah diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan pertama England sejak di bawah bimbingan Capello yang menyaksikan mereka menang 2-1 ke atas Switzerland pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa kelmarin.
"Saya yakin, jika kamu mahu bermain untuk England, kamu perlu menjadi seorang pemain yang hebat tetapi kamu juga perlu bermain dengan baik," katanya.
"Pemain utama perlu mempunyai kualiti, kemudiannya cergas dan berada pada prestasi terbaik."
Ketika ditanya kenapa dia tidak menurunkan Owen, Capello menjawab: "Saya fikir tentang pertukaran berdasarkan apa yang berlaku di tengah padang. Saya berhak memutuskan siapa yang akan dibawa masuk dan dikeluarkan.
"Jika pemain berjaya melakukan apa yang saya kehendaki, dia akan kekal di tengah padang dan jika sebaliknya, dia akan dikeluarkan. Semua pemain adalah sama."
Tumpuan Capello tidak terjejas dengan tindakan penonton yang melaungkan nama Beckham sepanjang perlawanan itu.
"Ia tidak mempengaruhi saya," katanya.
"Saya gembira apabila penonton melaungkan nama David Beckham. Apa yang saya lakukan tidak ada kaitannya dengan persoalan peribadi pemain."
Pada aksi menentang Switzerland itu, pemain gantian, Shaun Wright-Phillips mengesahkan kemenangan England apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-62.
England membuka jaringan menerusi Jermaine Jenas pada minit ke-40 tetapi pasukan pelawat berjaya mengikat kedudukan hasil jaringan Eren Derdiyok pada minit ke-58. - AFP