Bayangkan jika anda perlu membelanjakan antara RM300 dan RM400 untuk petrol sahaja pada setiap kali mahu pergi ke bandar terdekat dengan bot hanya untuk membuat satu panggilan telefon yang penting.
Itulah keadaan yang dihadapi penghuni rumah panjang dan guru sekolah yang terletak jauh di pedalaman daerah Song.
Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Kemudahan Awam Datuk Ambrose Blikau membangkitkan masalah itu untuk perhatian Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang di pekan Song dekat Kapit hari ini.
Salang berada di pekan ini bagi merasmikan pembukaan Pusat Internet Luar Bandar di Pejabat Pos Song.
Blikau berkata situasi sebgitu dihadapi oleh penghuni rumah panjang di Ulu Katibas dan guru SK Lubok Ipoh, yang terletak jauh di pedalaman di
Kapit.
Beliau mencadangan kerajaan mendirikan lebih banyak
menara pemancar di lokasi strategik di sepanjang jalan balak di kawasan seumpama itu."Terdapat tempat yang isyarat penerimaan dan pancaran adalah baik."Daripada apa yang diberitahu kepada saya, telefon bimbit yang murah dan hanya lengkapi kemudahan asas dapat menghubungkan anda ke dunia luar berbanding model yang mahal dan canggih," katanya secara berseloroh.
Namun, katanya penduduk di beberapa rumah panjang di sepanjang sungai Rajang yang terletak berdekatan dengan bandar seperti Song atau Kapit boleh menggunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi.
Blikau yang juga ADUN Katibas berkata siaran radio RTM yang jelas juga amat diharapkan oleh penduduk di kawasan yang
terletak jauh di pedalaman.
Katanya, radio merupakan saluran yang amat penting kepada penduduk di pedalaman untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai apa yang berlaku di negeri
dan negara. BERNAMA