Pemandu mengantuk, lagi bas terbabasOleh Ramli Ibrahim dan Betty Subaryati GUA MUSANG: Seorang penumpang maut, manakala 28 lagi cedera termasuk empat parah apabila bas ekspres, Triton, yang dalam perjalanan dari sini ke Kuala Lumpur tanpa pemandu gantian, terbabas dan terbaik ke dalam parit dekat Felda Chiku di sini, awal pagi semalam.
Siasatan awal polis mengesyaki pemandu bas berkenaan, Alias Ismail, letih dan mengantuk kerana dia sebelum itu dikatakan baru tiba ke Kota Bharu selepas membawa penumpang dari Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 43 tahun dari Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai itu melarikan diri dari tempat kejadian. Sehingga petang semalam, dia belum membuat laporan polis dan kecederaannya belum diketahui.
Dalam kejadian jam 1 pagi di Kilometer 30.3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu, Benyamin Ali, 28, guru agama warga Kemboja, mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan akibat tersepit.
Empat mangsa yang parah ialah Hamizah Mohamad, 15; Habsah Yusof, 53 dan Rosaida Ismail, 31, yang kini dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), manakala Mohd Atif Mohd Razit, 13, dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).
Semua penumpang lain termasuk lima lagi kanak-kanak yang cedera ringan, dirawat sebagai pesakit luar di HGM, sebelum dibenarkan pulang.
Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang diketuai Pegawai Operasinya, Yahya Abdullah, terpaksa menggunakan kren bagi mengalih bas yang terbalik sebelum dapat mengeluarkan mayat mangsa. Mangsa yang cedera dibantu orang ramai di kawasan itu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata pemandu bas terbabit dikatakan hanya sempat tidur dua jam sebelum memandu semula ke Kuala Lumpur untuk perjalanan jam 9.30 malam dan beliau tidak mempunyai pemandu gantian seperti disyaratkan.
“Pemandu itu juga dikatakan memberitahu beberapa penumpang beliau hanya sempat tidur selama dua jam selepas tiba ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur sebelum diarahkan memandu semula bas berkenan ke Kuala Lumpur.
“Sebelum kemalangan itu, pemandu terbabit dikatakan sempat berhenti di sebuah gerai tepi jalan, untuk minum dipercayai bagi menghilang rasa mengantuk,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, semalam.
Abdul Rahim berkata, siasatan polis mendapati lokasi kemalangan itu adalah laluan lurus tetapi disebabkan mengantuk, pemandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit.
Polis sudah menghubungi pengurusan syarikat bas itu serta mengarahkan mereka supaya mengesan dan mengarahkan pemandu bas berkenaan tampil membantu siasatan.
Usaha Berita Harian menghubungi syarikat bas yang berpangkalan di Shah Alam itu bagaimanapun gagal kerana seorang kakitangannya memberitahu pegawai operasinya sedang bercuti, manakala seorang lagi menghadiri mesyuarat.
Sementara itu, semakan mendapati bas ekspres Triton bernombor pendaftaran WFQ381 yang terbabit dalam kemalangan itu, mempunyai sembilan saman trafik tertunggak dengan nilai kompaun berjumlah RM1,920.
Saman yang dikeluarkan polis Trafik itu kebanyakannya bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang ditetapkan di sepanjang laluan antara Kota Bharu ke Kuala Lumpur terutama sekitar Kuala Lipis, Raub dan Bentong sejak 1999.
Semakan terhadap rekod pemandu bas terbabit pula mendapati beliau mempunyai satu saman tertunggak dengan nilai kompaun RM100 membabitkan sebuah kenderaan lain, tetapi tiada rekod mata demerit Kejara dikenakan terhadapnya.
Jenazah mangsa yang terkorban dihantar untuk bedah siasat di HGM sebelum diserahkan kepada Kedutaan Kemboja bagi dibawa balik ke negara asalnya untuk urusan pengebumian.
source http://www.bharian.com