JOHOR BAHRU: Terpedaya dengan muslihat seorang bomoh yang mendakwa mampu mengembalikan harta arwah nenek moyang mereka yang dikatakan bernilai RM2.8 juta, lapan beradik kerugian RM62,285 yang dibayar kononnya sebagai zakat dan kos upacara meraikan ‘mahaguru.’
Mangsa, Nazri Mohd Noor, 40, berkata, bomoh berusia 37 tahun itu licik menipu dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain termasuk mengadakan satu ‘demonstrasi’ khas kemampuannya mengembalikan sebahagian daripada harta bernilai RM2.8 juta itu dalam bentuk wang tunai.
“Kami berkenalan dengan lelaki itu melalui seorang rakan pada 27 Mac lalu dan tertarik dengan keistimewaannya, antaranya mampu melihat dan berkomunikasi dengan pemegang amanah alam ghaib.
“Lelaki yang tinggal di Masai itu memberitahu sudah tiba masanya keluarga kami memiliki kekayaan nenek moyang kami yang keseluruhannya bernilai RM2.8 juta dan dia mampu menukar harta itu dalam bentuk wang tunai untuk kami.
“Bagaimanapun, kami terlebih dulu perlu membayar wang ‘zakat’ RM53,000. Selepas berbincang, kami adik-beradik setuju membenarkan lelaki itu mengadakan upacara menzahirkan duit berkenaan di kampung kami di Kelantan, pertengahan April lalu,” katanya kepada Harian Metro.
sumber: http://www.hmetro.com.my/articles/8beradikputihmata/Article