PETALING JAYA 18 Jun - Tiga pekerja sebuah restoran mamak di Jalan PJ/12 berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, berada dalam kritikal akibat melecur teruk setelah tong gas memasak meletup dalam premis berkenaan hari ini.
Berikutan kejadian pukul 8.30 pagi itu, ia turut menyebabkan empat rakan mangsa dan 15 pelanggan yang sedang bersarapan mengalami kecederaan ringan.
Isteri kepada pemilik restoran yang hanya mahu dikenali sebagai Ragani memberitahu, letupan berlaku semasa seorang pekerja mahu menukar tong gas yang sudah kosong dengan tong baharu.
Menurut Ragani, tong gas yang mahu ditukar itu tiba-tiba meletup sehingga menyebabkan tiga pekerjanya cedera parah akibat melecur.
"Letupan kuat itu turut menyebabkan barang-barang dalam restoran tercampak dan siling premis runtuh.
"Pada masa sama, ada empat pekerja dan 15 pelanggan yang berada dalam restoran turut mengalami cedera ringan akibat ditimpa siling runtuh, terkena percikan api dan tercampak keluar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.
Ragani berkata, tiga pekerjanya yang cedera parah dikenali sebagai Selvam, 43, yang bekerja sebagai pembancuh air, Latha Krisna, 25, (pelayan pelanggan) dan Samy, 43, (pembuat roti canai).
Katanya, ketiga-tiganya yang dikejarkan ke PPUM untuk rawatan lanjut dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur kerana melecur teruk.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
"Beberapa tahun lalu, restoran tersebut pernah dilempar dengan bom petrol oleh pihak tertentu, tetapi letupan hari ini tiada kaitan dengan unsur jenayah dan hanya satu kemalangan," katanya.
sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info...h&pg=je_01.htm