SYDNEY 27 Jun – Polis hari ini menemui semula kereta Ferrari California berharga A$500,000 (RM1.6 juta) milik seorang daripada lelaki terkaya di Australia yang telah dicuri dari rumahnya Sabtu lalu.
Kereta milik jutawan perlombongan, Nathan Tinkler ditemui dalam keadaan hangus terbakar di Raymond Terrace, bersebelahan dengan Lebuh Raya Pasifik, utara Newcastle.
Polis kini sedang melakukan ujian forensik ke atas kereta itu dan belum ada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.
Tinkler sedang tidur di dalam rumahnya yang berdepan dengan pantai berdekatan dengan Newcastle, utara Sydney ketika pencuri-pencuri itu memasuki rumahnya tengah malam Sabtu lalu.
Menurut polis, selain Ferrari California berwarna hitam keluaran 2010 yang dilaporkan hanya ada 141 unit sahaja di Australia, pencuri-pencuri tersebut turut melarikan jam tangan, komputer riba dan kamera digital milik keluarganya.
“Mereka empat sekeluarga sedang tidur di tingkat satu rumah itu ketika pencuri-pencuri itu memecah masuk tetapi mereka semua selamat,” lapor polis.
Tinkler merupakan pemilik dan pengarah Tinkler Group, sebuah syarikat yang mula dikenali selepas membuat pinjaman sebanyak AUS$500,000 (RM1.6 juta) untuk membeli lombong arang batu pada tahun 2006.
Dia kemudiannya menjual lombong arang batu itu kepada Macarthur Coal dengan harga AUS$275 juta (RM878 juta).
Tinkler, 35, yang juga merupakan lelaki terkaya di Australia bawah usia 40 tahun dan bernilai A$1.01 bilion (RM3.23 bilion) itu turut memiliki kelab liga ragbi Newcastle Knights dan kelab bola sepak Newcastle Jets. – AFP
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_09.htm